Mahkamah Temerloh akan dengar kes k'jaan Pahang saman aktivis isu pembalakan
Saman fitnah kerajaan Pahang terhadap seorang aktivis alam sekitar berhubung isu pembalakan di negeri itu akan kekal di Mahkamah Tinggi Temerloh.
Peguam Rajesh Nagarajan berkata mahkamah Temerloh tahun lepas telah menolak permohonan defendan, pengasas dan bekas presiden Peka Shariffa Sabrina Syed Akil, untuk memindahkan tindakan sivil ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
“Permohonan (pemindahan) telah ditolak pada 30 Sept 2022,” kata peguam yang mewakili Shariffa Sabrina itu kepada Malaysiakini petang ini, sambil menambah bahawa mahkamah Temerloh masih sudah mengeluarkan alasan penghakiman bertulis berhubung keputusan itu.
Rajesh seterusnya menambah bahawa Mahkamah Tinggi Temerloh juga telah menetapkan 25 Jan tahun ini untuk pengurusan kes selanjutnya dan tarikh perbicaraan masih belum ditetapkan untuk perkara itu.
Pada 12 Julai tahun lepas, Rajesh dilaporkan berkata bahawa Shariffa Sabrina berusaha untuk memindahkan kes saman sivil itu, berikutan fakta material di sebalik tindakan undang-undang yang dikatakan berlaku semasa dia berada di Kuala Lumpur.
Pada 18 Jun lalu, kerajaan Pahang menyaman Shariffa atas tuduhan memfitnah berhubung tiga kenyataan mengenai aktiviti pembalakan di negeri itu.
Sebelum ini, kerajaan Pahang mengeluarkan surat tuntutan supaya bekas presiden kumpulan alam sekitar itu membayar pampasan RM1 juta dan memohon maaf atas komennya yang dimuat naik di Facebooknya dan wawancara dengan akhbar harian tempatan.
Di bawah undang-undang, tindakan sivil boleh dikenakan di mahkamah jika penerima surat undang-undang itu didakwa gagal mematuhi tuntutannya.
Menurut salinan kertas kausa yang dilihat oleh Malaysiakini, saman sivil itu difailkan di Mahkamah Tinggi Temerloh pada 7 April.
Kerajaan Pahang mendakwa Sabrina membuat kenyataan berunsur fitnah di Facebooknya pada 29 dan 30 Dis tahun lepas, serta ketika wawancara dengan Sinar Harian pada 12 Jan.
Plaintif mendakwa kenyataan defendan membayangkan pihaknya kurang telus dalam membenarkan kegiatan pembalakan di Pahang.
Plaitif juga mendakwa kenyataannya membayangkan banjir yang melanda Pahang tahun lalu berpunca daripada pembalakan tidak terkawal.
"Plaintif seterusnya memplidkan bahawa kata-kata fitnah penerbitan pertama, kata-kata fitnah penerbitan kedua dan kata-kata fitnah penerbitan ketiga tersebut masing-masing, serta keseluruhan kata-kata yang terkandung di dalamnya adalah dakwaan palsu dan tidak berasas, dan merupakan fitnah yang amat serius kepada reputasi dan nama baik plaintif sebagai kerajaan negeri yang bertanggungjawab dan berwibawa dalam membangunkan Pahang serta memacu ekonomi negeri, selain menjaga kesejahteraan, keselamatan dan ketenteraman rakyat Pahang secara khususnya," kata kerajaan Pahang.
Menurut kerajaan negeri lagi, sekurang-kurangnya setakat ini, pihaknya telah mengambil langkah wajar bagi pemulihan semula kawasan yang terjejas dengan banjir, selain mewujudkan 51 pusat perlindungan dan membina penempatan baru kepada mangsa di kawasan terjejas.
Kerajaan negeri juga mendakwa Sabrina gagal mematuhi notis tuntutan yang dikeluarkannya sebelum ini.
Melalui saman ini, kerajaan Pahang menuntut RM1 juta dalam bentuk ganti rugi khas, ganti rugi teruk dan juga teladan, serta faedah lima peratus setahun daripada tarikh writ dan pernyataan tuntutan sehingga penyelesaian penuh dibuat.
Sementara itu, dalam pernyataan pembelaan bertarikh 23 Mei, Sabrina berkata kerajaan negeri tidak boleh difitnah dan tindakannya sepatutnya boleh dikritik orang ramai.
Dia berkata kenyataan yang dibuat adalah berpatutan dan tidak berniat jahat, serta boleh dibuat secara jujur dan munasabah oleh mana-mana pihak yang berfikiran adil, berdasarkan fakta yang benar, selaras dengan hak kebebasan bersuara yang dijamin dalam Perlembagaan.
Katanya lagi, dia menggunakan laman Facebooknya untuk menyebarkan fakta dan meningkatkan kesedaran terhadap isu alam sekitar serta kepentingan menjaganya.
"Memandangkan impak sebarang isu alam sekitar terhadap semua rakyat, maka penerbitan-penerbitan defendan adalah wajar dan munasabah," katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai