Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Cabaran Anwar selanjutnya - Dewan Negara

Bulan lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menutup mulut penentang yang meragui sokongannya apabila meraih undi percaya di Dewan Rakyat.

Tetapi ia boleh menjadi cerita berbeza bagi Dewan Negara.

Pada masa ini, terdapat 35 senator atau ahli Dewan Negara di pihak kerajaan dan 16 daripada pembangkang. Di atas kertas, Anwar sepatutnya menguasai dua pertiga Dewan Negara.

Bagaimanapun, tidak seperti ahli Dewan Rakyat yang dipilih mengikut penggal setiap lima tahun, pelantikan senator dan tempoh tamat perkhidmatannya berlaku sepanjang tahun.

Ini bermakna jumlah yang berpihak kepada Anwar akan berubah dari semasa ke semasa - sambil menyediakan gabungan dan parti bersekutu dalam membuat tuntutan mengenai perkara perundangan dan komposisi Dewan Negara itu sendiri.

Daripada 35 senator di pihak kerajaan, 23 daripada parti BN dan enam daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS), manakala Pakatan Harapan (PH) yang diketuai Anwar hanya mempunyai lima orang senator.

Sebahagian besar ahli Dewan Negara BN dilantik semasa Ismail Sabri Yaakob menjadi perdana menteri, justeru kesetiaan mereka kepada Anwar masih belum terbukti.

Pembinaan muafakat

Menjelang Februari apabila Dewan Negara bersidang semula, Anwar dijangka bersungguh-sungguh mencari kata sepakat di kalangan rakan gabungan untuk memastikan rang undang-undang kerajaan diluluskan sepenuhnya - termasuk Rang Undang-undang Perbekalan 2023, menurut penganalisis politik Wo Chang Xi.

"Kesukaran atau cabaran yang mungkin dihadapi Anwar bukanlah khusus kepada Dewan Negara. Akarnya adalah dalam sifat kerajaan gabungan pascapilihan raya. Bagaimana untuk mencapai kata sepakat dan menangani perbezaan di kalangan rakan gabungan yang mana mereka semua masing-masing akan bersaing pada pilihan raya akan datang.

"Mesti ada kata sepakat antara tiga blok utama dalam kerajaan campuran – PH, BN dan GPS, yang semuanya mempunyai senator, sebelum meletakkan dasar utama kerajaan kepada dewan yang biasanya bermula di Dewan Rakyat.

"Tanpa konsensus seperti itu, kerajaan campuran tidak akan memperoleh majoriti selamat untuk meluluskan agenda perundangannya.

“Oleh itu, jika blok utama mencapai kata sepakat, ia akan mengarahkan senatornya untuk mengundi sewajarnya dan tidak timbul isu kerajaan hari ini mendapatkan sokongan daripada minoriti senator sahaja di Dewan Negara," katanya.

Wo berkhidmat sebagai penyelidik bersekutu di Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan (SDSN-Asia), University Sunway.

Tidak seperti ahli parlimen, senator tidak tertakluk kepada undang-undang antilompat parti yang diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan, sekali gus menyukarkan parti untuk mengenakan tindakan disiplin.

Baik parti mahupun perdana menteri tidak boleh memaksa seorang senator berundur. Senator hanya boleh berundur atas kerelaan mereka sendiri atau menunggu tempoh khidmat mereka tamat.

Percaturan nombor

Menurut Perlembagaan Persekutuan, terdapat 70 ahli Dewan Negara, dengan 26 lantikan oleh dewan undangan negeri (DUN).

Walaupun terdapat 19 kekosongan pada masa ini, Anwar hanya boleh mengisi 12 kekosongan - paling banyak pada Februari - kerana bakinya akan diisi daripada DUN.

DUN Kedah, Pulau Pinang dan Selangor akan mengisi dua kekosongan setiap satu manakala Terengganu dan Perak pula boleh mengisi satu keanggotaan.

Beberapa senator dari negeri-negeri ini meletak jawatan sebelum pilihan raya 19 Nov lalu lepas untuk menjadi calon ahli parlimen.

Wo berkata memandangkan perjanjian antara PH dan gabungannya tidak menyentuh mengenai pelantikan senator, Anwar secara teknikal boleh meningkatkan bilangan senator mereka maksimun seramai 20 orang di Dewan Negara, dengan itu masih memerlukan bantuan sekutu untuk meluluskan rang undang-undang.

"Tanpa sokongan rakan gabungannya, khususnya BN, PH tidak boleh memperoleh majoriti dalam Dewan," katanya.

Sekiranya Dewan Negara membatalkan rang undang-undang biasa, Wo berkata, ia hanya boleh melambatkan kelulusan undang-undang yang dicadangkan.

Momokan kaum 'ketepikan' DAP lagi?

Ini kerana undang-undang membenarkan Yang di-Pertuan Agong memberikan perkenan diraja untuk rang undang-undang, sekiranya ia dikalahkan dua kali di Dewan Negara kecuali rang undang-undang pindaan perlembagaan yang memerlukan majoriti dua pertiga, tambah Wo.

Sementara itu, penganalisis politik Universiti Malaya, Awang Azman Awang Pawi (gambar, bawah) berkata Anwar perlu berhati-hati dengan pelantikan senator baru kerana pesaingnya terus memperkatakan tentang kaum dan agama.

"Bagi mengelak persepsi negatif terhadap DAP, formula yang diguna pakai kerajaan dalam pengagihan portfolio kabinet perlu dijadikan rujukan dalam menggubal komposisi Dewan Negara.

"Adalah penting perdana menteri perlu lebih peka mengenai isu ini kerana Kelantan, Kedah dan Terengganu akan mengadakan pilihan raya negeri beberapa bulan lagi sebelum Ramadan.

"Jadi, Perikatan Nasional (PN) mungkin sekali lagi memainkan isu kaum dan agama serta penglibatan DAP dalam kerajaan sehingga menjadi isu besar," katanya.

Pada masa ini, hanya ada seorang senator DAP di Dewan Negara.

DAP diberi empat jawatan menteri dalam kabinet Anwar walaupun parti itu memenangi 40 kerusi parlimen daripada 82 yang dimenangi PH.

Anwar kemudiannya melantik enam timbalan menteri daripada DAP.

[Baca berita asal]