Penonton maut dilanggar kereta lumba terbabas
Seorang penonton yang dilanggar sebuah kereta lumba yang terbabas semasa pertandingan “CCT Battle of Champion” di Litar Dato’ Sagor, Kampung Gajah, 75km dari Ipoh meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Changkat Melintang, Lambor Kanan semalam.
Ketua Polis Perak Mohd Yusri Hassan Basri berkata mangsa lelaki berusia 32 tahun itu disahkan meninggal dunia ketika dirawat di wad kecemasan hospital berkenaan pada pukul lima petang.
“Hasil bedah siasat dijalankan mendapati mangsa yang juga pengusaha bengkel kenderaan di Kamunting meninggal dunia disebabkan kecederaan di kepala dan pendarahan di bahagian paru-paru.
Siasatan sedang dijalankan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya dalam kenyataan.
Dia berkata ketika kejadian pada pukul 3.30 petang itu, terdapat 12 kereta Proton Satria sedang beraksi dalam perlumbaan lima pusingan bagi kategori 1,800cc sebelum dua daripadanya bergesel lalu sebuah daripadanya terbabas ke kanan laluan litar dan melanggar salah seorang penonton yang berada di atas kawasan berumput.
Menurutnya, mangsa yang cedera parah telah diberikan rawatan segera oleh pegawai perubatan yang berada di kawasan litar perlumbaan sebelum dikejarkan ke hospital berkenaan untuk rawatan lanjut.
-Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai