Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PAS minta k’jaan tangguh kemasukan pelancong dari China

PAS meminta kerajaan agar menangguhkan kemasukan pelancong dari China buat sementara waktu, seperti yang dilakukan oleh beberapa negara lain susulan peningkatan jumlah kes Covid-19 yang mendadak di negara itu.

Ketua Penerangan PAS Khairil Nizam Khirudin mengingatkan kerajaan supaya waspada dengan penularan varian baru virus tersebut, memandangkan republik itu membenarkan rakyatnya mengembara dengan kes bilangan yang sedang melonjak.

“Malaysia perlu mengambil iktibar daripada penularan wabak pada tahun 2020 apabila tidak melakukan langkah mencegah kemasukan pelancong yang berisiko membawa Covid-19.

“PAS mencadangkan agar ditangguhkan secara sementara kemasukan pelancong dari China, memerhati perkembangan di China dan negara-negara lain yang telahpun menerima pelancong dari China sebelum membenarkan semula mereka masuk ke dalam negara.

“Bagi pelancong yang telah berada di negara ini, mereka perlu dikenalpasti dan diperiksa tentang status Covid-19,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Semalam, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata pengembara yang tiba dari luar negara termasuk China di pintu masuk antarabangsa (PMA) perlu melalui saringan demam.

Dia berkata pengembara yang dikesan demam, bergejala atau rujukan kendiri akan dirujuk ke pusat kuarantin atau pihak kesihatan untuk pemeriksaan semula.

Terdahulu, Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (Mata) menggesa kerajaan agar menangguhkan sementara kemasukan pelancong dari China sehingga kes harian Covid-19 di negara itu reda.

Presiden Mata Mohd Khalid Harun berkata lonjakan kes di China itu memberi kegusaran kepada rakyat Malaysia khususnya pengusaha industri pelancongan.