Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Menteri pendidikan: Tambah baik sekolah pedalaman jadi keutamaan

Fadhlina Sidek berkata perkara pertama yang dilakukannya selepas dilantik sebagai menteri pendidikan adalah menukar fokus kementerian agar mengutamakan pembangunan sekolah daif di pedalaman Sabah dan Sarawak.

Fadhlina berkata ia bagi memastikan kanak-kanak di sana mendapat akses pendidikan yang sama rata.

Bercakap pada program "Ruang Bicara" Bernama TV dengan pengacara Sherkawi Jirim, Fadhlina berkata Kementerian Pendidikan (KPM) mempunyai tujuh fokus teras dan dia mengangkat kepentingan menambah baik sekolah pedalaman sebagai perkara paling utama.

“Dalam tempoh 100 hari pertama, kita akan kaji keperluan sekolah dan rancangan penambahbaikan yang telah pun dijalankan dan apa lagi yang perlu dilakukan.

"Akses pendidikan untuk pelajar-pelajar ini adalah keutamaan kami," katanya.

Dia berkata demikian ketika menjawab soalan individu bernama Lin Yee dari Sabah, yang menarik perhatian Sherkawi mengenai keadaan 50 sekolah di pedalaman Sabah terutama di Pensiangan, Nabawan dan Tenom.

Lin berkata projek solar telah terbengkalai di 50 sekolah hibrid di negeri itu.

“Ada yang telah dipasang tetapi tidak diselenggara. Sekolah-sekolah sangat daif dengan meja dan kerusi yang rosak dan tiada jalan untuk ke sekolah-sekolah itu,” kata Sherkawi sambil membacakan soalan itu kepada menteri.

Fadhlina turut berkongsi bahawa golongan seperti kanak-kanak Orang Asli turut diberi perhatian khusus oleh KPM.

“Selain memastikan akses kepada pendidikan untuk kanak-kanak Orang Asli, kami telah beri kepentingan kepada pendekatan berasaskan komuniti yang dirangka untuk mengelakkan golongan rentan daripada terus terpinggir.

“Ini menerusi program Kedap yang memperkenalkan kelas untuk Orang Asli dewasa khususnya ibu bapa.

"Ada ibu bapa orang asli untuk datang kelas bersama anak-anak mereka supaya mereka lebih dapat membantu anak-anak mereka buat kerja sekolah," jelasnya.

Fadhlina berkata program ini membantu kanak-kanak meningkatkan kemahiran membaca,menulis dan matematik.