Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Murid SJKC Mun Choong hadir acara memperingati mangsa tanah runtuh

Suasana suram jelas terasa di saat murid SJKC Mun Choong di Kuala Lumpur kembali ke sekolah hari ini.

Murid berseragam putih dan biru memenuhi dewan sekolah. Berpelitup muka, ada yang mengalirkan air mata ketika mereka bertafakur selama seminit bagi mengenang mangsa tragedi tanah runtuh di Batang Kali, Selangor pada 16 Disember lalu.

Seramai 11 daripada 31 mangsa yang terkorban antaranya merupakan guru, pekerja kantin sekolah dan tukang masak sekolah itu.

Dianggarkan seramai 600 murid, guru, ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan orang perseorangan hadir ke sekolah itu bermula jam 8.30 pagi tadi.

Pihak sekolah juga menyediakan ruang pameran kecil, memaparkan gambar yang diiringi dengan penerangan berkenaan peranan dan kaitan mangsa dengan sekolah.

Kalangan yang hadir juga boleh meninggalkan ucapan-ucapan takziah di kad yang disediakan.

Antara yang hadir adalah Ahli Parlimen Batu P Prabakaran (gambar).

Dia berkata telah bertemu ahli keluarga mangsa yang terkorban yang tinggal di kawasan parlimennya untuk menyerahkan bantuan kerajaan sebanyak RM10,000.

Menurutnya, antaranya adalah ibu kepada tukang masak kantin yang kini tinggal keseorangan selepas kematian anaknya.

"Ibu mangsa berkata dia lihat tiada masa depan di rumah sewanya dan memohon untuk berpindah ke rumah PPR (Program Perumahan Rakyat).

"Saya akan meneliti permohonannya," katanya lagi.

Tragedi yang berlaku awal pagi 16 Disember itu meragut nyawa 31 daripada 92 peserta perkhemahan di Tapak Perkhemahan Father’s Organic Farm di Gohtong Jaya, Batang Kali.

Antara yang terkorban adalah 18 orang dewasa dan 13 kanak-kanak, termasuk seorang bayi berusia setahun.

Seramai 61 peserta selamat atau cedera ringan.