Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Bicara kes Siti Nuramira Mac tahun depan

Perbicaraan seorang wanita yang mengundang kontroversi berhubung persembahannya di sebuah kelab komedi di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) ditetapkan selama empat hari bermula 20 Mac tahun depan.

Peguam R Sivaraj, yang mewakili tertuduh Siti Nuramira Abdullah, hari ini mengesahkan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menetapkan tarikh perbicaraan penuh pada 20 hingga 22 Mac dan 17 April 2023.

"Perbicaraan akan di hadapan hHakim Mahkamah Sesyen Nor Hasniah Ab Razak," kata peguam itu kepada Malaysiakini petang ini.

Sivaraj menjelaskan pasukan peguam Siti Nuramira sebelum ini telah menghantar surat representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung pertuduhan jenayahnya menyebabkan permusuhan dan niat jahat, tetapi pendakwa raya tidak bersetuju dengan representasi itu.

Surat representasi dikemukakan apabila pihak mencadangkan cara bagi menyelesaikan masalah undang-undang, seperti melalui penarikan balik pertuduhan, atau untuk pertuduhan yang lebih rendah dikemukakan.

Sivaraj menambah bahawa Siti Nuramira juga telah memutuskan untuk tidak meneruskan cabaran undang-undang yang berasingan berhubung kesahihan undang-undang yang menyekat kebebasan bersuara dan berekspresi.

Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan peguam itu berkata bahawa anak guamnya sedang mempertimbangkan sama ada akan memfailkan cabaran undang-undang berhubung kesahihan Seksyen 298A Kanun Keseksaan atau tidak, yang mana dia didakwa atas persembahan komedi kontroversinya awal tahun ini.

Sivaraj juga dilaporkan berkata pasukan pembelaan sedang memikirkan kemungkinan untuk menghantar surat representasi kepada AGC berhubung perkara itu.

Pada 13 Julai lalu di hadapan Mahkamah Sesyen, Siti Nuramira didakwa mengikut Seksyen 298A, satu peruntukan yang memperkatakan kesalahan menyebabkan ketidakharmonian, perpecahan, kebencian permusuhan, niat jahat, atau menjejaskan pemeliharaan keharmonian atau perpaduan, atas alasan agama, antara orang atau kumpulan orang yang menganut agama yang sama atau berbeza.

Menurut kertas pertuduhan, dia didakwa menimbulkan menyebabkan permusuhan dan kebencian atas di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

Justeru Siti Nuramira kemudian meminta agar dibicarakan atas pertuduhan tersebut.

Siti Nuramira didakwa melakukan kesalahan berkenaan semasa membuat persembahan komediri dengan mengeluarkan kenyataan kontroversi membabitkan Islam di Taman Tun Dr Ismail (TTDI).

Siti Nuramra didakwa mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menyebabkan ketidakharmonian, perpecahan, kebencian permusuhan, niat jahat, atau menjejaskan keharmonian atau perpaduan, atas alasan agama.

Jika nanti didapati bersalah dia boleh dihukum penjara sekurang-kurangnya dua tahun tetapi tidak lebih lima tahun.

Sebelum ini, orang ramai dikejutkan dengan satu klip video pendek memaparkan seorang wanita berbaju kurung dan mengaku menghafaz 15 juzuk al-Quran yang kemudian menukar pakaiannya menjadi seksi.

Insiden itu berlaku dalam satu sesi persembahan di atas pentas Crackhouse Comedy Club di TTDI, Kuala Lumpur.

[Baca berita penuh]