Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Lepas PRU16, lantik ahli akademik jaga pendidikan - Maszlee

Kerajaan disaran melantik golongan dalam bidang pendidikan sebagai menteri pendidikan dan pengajian tinggi dalam pilihan raya umum yang akan datang.

Tindakan itu, kata bekas menteri pendidikan Maszlee Malik, bagi membolehkan kebebasan akademik dipertahan.

“Kita harap bila PRU16, kita letakkan, buat duluan, iaitu yang menjadi menteri pendidikan atau pendidikan tinggi, bukan orang politik.

“Biar orang dalam (bidang) pendidikan sendiri, orang yang tahu isi hati dan hala tuju,” kata bekas pensyarah yang terjun ke bidang politik itu.

Dalam seminar di Bangi, Selangor, Maszlee juga membangkitkan bagaimana sesetengah pihak dilarang memasuki universiti sebelum ini, seperti pereka grafik Fahmi Reza di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Fahmi mengajar ‘Kelas Demokrasi’ di universiti-universiti menjelang PRU lalu, gambar hiasan

Sedangkan, katanya, ketika dia menjadi menteri, perkara itu tidak berlaku.

“Saya ingat sebelum PRU Fahmi Rehza tak boleh masuk sini. Zaman saya Haji Hadi pun boleh masuk sini,” katanya.

Maszlee pernah menerajui Kementerian Pendidikan ketika Pakatan Harapan (PH) menawan Putrajaya kali pertama dalam pilihan raya umum 2018.