Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Apa status gabung fakulti di UiTM, soal alumni

Alumni Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) menuntut penjelasan universiti itu berkaitan “kedudukan sebenar” terhadap rancangan penggabungan beberapa fakulti.

Perkara itu dibangkitkan setelah Jabatan Pendidikan Tinggi memberikan dua pilihan, melibatkan pertukaran nama fakulti berkaitan sebagai kolej dan penggabungan tanpa melibatkan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, yang ditentang alumninya.

Tuntutan itu turut dinyatakan dalam surat presidennya Basree Rakijan kepadaa Naib Canselor UiTM Roziah Mohd Janor kelmarin, yang salinannnya dikongsi dengan media hari ini.

“Kami nak supaya fakulti komunikasi dikekal sepatutnya berdiri sendiri seperti yang disebut dalam salah satu pilihan yang diberi itu,” kata Basree.

Dua bulan lalu, perkumpulan alumni itu menyatakan bantahan mereka terhadap keputusan UiTM untuk menggabungkan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM) serta Fakulti Pengurusan Maklumat.

Penggabungan itu menurut mereka akan melenyapkan pendidikan asas komunikasi massa untuk menyediakan maklumat penting kepada orang ramai.

Dalam sidang media di sebuah resort di Shah Alam hari ini, Basree berkata penggabungan fakulti harus melibatkan bidang pengajian yang selaras.

“Jika sekiranya hendak digabungkan juga, kena gabungkan dengan fakulti-fakulti dalam satu disiplin yang samalah. 

“Bukan pengajian komunikasi kita gabung dengan sains komputer dan matematik, itu pada pendapat kami tidak bersesuaianlah,” ujarnya lagi.

Sementara itu, mereka turut menzahirkan ketidakpuasan hati terhadap pengurusan UitM yang didakwa tidak mengendahkan surat mereka yang bertanya berkenaan status penggabungan itu.