Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Bersatu tuntut speaker isytihar kekosongan 4 kerusi di Sabah

Bersatu hari ini menuntut Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul supaya mengisytiharkan kekosongan di empat kerusi milik Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Dalam satu kenyataan, Naib Presiden Bersatu Ronald Kiandee berkata Johari telah dimaklumkan secara bertulis pada 21 Dis dan mesti bertindak mengikut Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan.

Kiandee berkata parti itu telah menjelaskan kepada Johari bahawa empat ahli parlimen - Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Jonathan Yasin (Ranau) dan Matbali Musah (Sipitang) - telah tidak lagi menjadi ahli Bersatu pada Nov. 19.

Ini, katanya, memandangkan kempat-empat ahli parlimen itu telah ‘crossing the floor’ dengan menyertai dan duduk di blok yang tidak menyokong Bersatu dan ini melanggar janji pilihan raya mereka kepada para pengundi.

“Akibat daripada itu, keahlian mereka sebagai anggota parti Bersatu telah gugur mengikut perlembagaan parti. Justeru, menurut Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan, ahli-ahli Dewan Rakyat tersebut hendaklah terhenti menjadi ahli Dewan Rakyat dan kerusi mereka hendaklah dikosongkan. 

“Selanjutnya telah dipohon jua kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat supaya perkara ini dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya dalam tempoh 21 hari dari tarikh penerimaan notis bertulis supaya proses pilihan raya dapat diatur bagi mengisi kekosongan tersebut,” katanya.

Pada 10 Dis lalu, kepimpinan Bersatu Sabah dan semua ahli parlimennya mengisytiharkan bahawa mereka akan berpisah dengan parti itu.

Ini membawa kepada dakwaan bahawa empat ahli Parlimen yang bertanding atas tiket GRS semasa menjadi ahli Bersatu hilang kelayakan mereka di bawah undang-undang "anti-lompat" parti.

Bagaimanapun, telah dipastikan bahawa keempat-empat mereka adalah ahli GRS dan juga Bersatu pada masa mereka dipilih.

[Baca berita penuh]