Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

‘Mavcom kena tegas supaya kes penerbangan tangguh lama tak berulang’

Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) berharap Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) akan tegas memastikan kebajikan pengguna terjaga.

Gesaan itu dibuat setelah tular dakwaan pesawat Batik Air tertangguh selama lapan jam, yang menyaksikan campur tangan menteri supaya syarikat itu bertanggungjawab dan memohon maaf.

“Mavcom  ialah pengawal selia, jadi (mereka) harus mengambil langkah untuk kepentingan pengguna.

“Yang penting Mavcom mesti bertindak supaya perkara ini tidak berlaku lagi,” ujar Ketua Eksekutif Fomca Paul Selvaraj.

Kelmarin, Menteri Pengangkutan Anthony Loke menggesa Batik Air memohon maaf dan memikul tanggungjawab terhadap kelewatan pelepasan penerbangannya dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Jumaat lepas.

Batik Air, yang sebelum ini dikenali sebagai Malindo Air, kemudian mengumumkan akan menghubungi penumpang yang terkesan bagi menyampaikan baucar istimewa secara percuma.

Menjawab rungutan berkaitan mekanisme pampasan, Loke hari ini berkata Mavcom adalah saluran yang tepat untuk pengguna membuat aduan.

Mendedahkan sudah mendapat laporan penuh, Loke berkata pengendalian komunikasi dan penerbangan tertangguh boleh lebih baik pada masa hadapan.

Bercakap kepada Malaysiakini Paul berkata setiap pengguna memiliki hak untuk mendapatkan perkhidmatan berkualiti dan munasabah seperti dijanjikan.

“Tunggu sedikit itu biasa, tetapi jika sudah melampau, itu adalah hak pengguna untuk mendapat tidak kira macam mana sama ada pampasan, bayaran balik atau apa-apa.

“Mana-mana syarikat penerbangan perlu bertindak apabila terima aduan daripada mana-mana pengguna,” ujarnya.

Bagaimanapun, kata Paul, syarikat penerbangan kadang kala tidak mengambil serius aduan pengguna.

Lambat minta maaf - Cassa

Sementara itu, Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (Cassa) Jacob George pula berkata pengguna mempunyai hak untuk memperoleh ganti rugi.

Mengulas insiden melibatkan Batik Air secara khusus, Jacob berkata syarikat itu tidak harus hanya meminta maaf selepas ditegur menteri.

“Dukacita hanya selepas kenyataan yang dibuat menteri, barulah Batik Air bertindak.

“Agak terlambat," ujarnya lagi. 

Dia berkata kelewatan penerbangan secara keterlaluan sememangnya memberi banyak masalah kepada penumpang yang sudah merancang perjalanan.