Zahid beri bayangan pemilihan Umno dibuat lebih awal
Pemilihan Umno mungkin akan dipercepat, iaitu lebih awal daripada Mei tahun depan, kata presidennya Ahmad Zahid Hamidi.
Umno perlu melakukan pemilihan paling lewat Mei 2023, bagi memenuhi syarat tempoh enam bulan selepas PRU15.
Zahid berkata dia menyerahkan kepada perwakilan untuk menentukan bila masa yang sesuai bagi pemilihan parti diadakan.
Katanya, pemilihan parti tidak diadakan semasa perhimpunan agung Umno tetapi dibuat serentak dengan persidangan peringkat bahagian parti itu.
"191 bahagian akan adakan persidangan serentak di seluruh negara dan adakan pemilihan kepimpinan bahagian dan pusat.
"Ertinya, tak perlu tunggu cukup tempoh enam bulan untuk pemilihan parti. Mungin diadakan awal. Kita kena ingat 22 atau 23 Mac sudah Ramadan, Syawal dan bulan haji," katanya dalam temu bual yang disiarkan secara langsung di saluran YouTube NRChannel malam tadi.
Pengerusi BN itu juga berkata perwakilan Umno akan memutuskan sama ada jawatan presiden dan timbalan presiden perlu dipertandingkan atau tidak pada pemilihan parti nanti.
Walaupun Perhimpunan Agung Umno 2017 telah memutuskan dua jawatan tertinggi tidak perlu dipertandingkan, namun Zahid berkata pada 2018, mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) memutuskan semua jawatan boleh dipertandingkan.
Dia memetik beberapa contoh ketika jawatan tersebut tidak dipertandingkan, seperti ketika Umno dipimpin Dr Mahathir Mohamad dan Abdullah Ahmad Badawi.
Katanya lagi, ada juga cadangan supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan ketika Najib Razak menerajui parti, namun ia tidak berlaku.
"Jadi, saya sebagai seorang demokrat serahkan kepada perwakilan untuk tentukan," katanya menjawab gesaan anggota parti itu supaya kedua-dua jawatan berkenaan dipertandingkan.
Isnin lalu, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan dilaporkan berkata MT Umno belum membuat keputusan sama ada kedua-dua jawatan itu akan dipertandingkan atau tidak.
Perhimpunan agung Umno 2022 yang dijadualkan pada 21 hingga 24 Disember ditunda kepada 11 hingga 14 Januari depan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai