Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

ULASAN | Inflasi: Syor kepada YB Rafizi menteri ekonomi

ULASAN | Cadangan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli untuk meredakan kenaikan harga makanan bersandarkan kepada keanjalan permintaan rakyat telah mendapat pelbagai reaksi. Kecoh satu negara.

Secara ringkas, hipotesis menteri ialah dengan keanjalan permintaan yang lebih tinggi, kenaikan harga akan mendorong kepada pengurangan permintaan dan tindakan ini akan menyebabkan penurunan harga berlaku atau setidaknya meredakan kenaikan harga makanan.

Setidak-tidaknya ada dua persoalan perlu dijelaskan, permintaan apa dan permintaan siapa?

YB menteri jelas merujuk kepada pemintaan untuk makanan dan minuman bukan alkohol yang menyumbang sebanyak 29.5 peratus dalam raga penggunaan yang digunakan untuk pengiraan Indeks Harga Pengguna oleh Jabatan Perangkaan Malaysia. Jumlah ini terdiri daripada tiga komponen utama iaitu makanan di rumah (16.9 peratus), makanan di luar rumah (11.5 peratus) dan minuman (1.1 peratus).

Berdasarkan laporan terkini yang diumumkan, sebanyak 671 (80 peratus) daripada 841 barangan yang dipantau telah mencatat kenaikan harga.

Kadar inflasi untuk makanan di rumah mencecah 7.3 peratus dan kadar inflasi makan di luar rumah meningkat lebih tinggi pada kadar 9.6 peratus, berbanding kadar inflasi keseluruhan yang merangkumi semua kategori perbelanjaan iaitu 4 peratus.

Dengan "andaian" semuanya kekal sama, penurunan dalam permintaan yang berpunca dari kenaikan harga (tertakluk kepada keanjalan) akan menyebabkan harga yang lebih rendah dan jumlah permintaan yang dapat dipenuhi juga akan menjadi lebih rendah.

Ini membawa kepada persoalan kedua-permintaan siapa? Siapakah yang akan menanggung beban mengurangkan permintaan ini?

Siapakah yang perlu mengorbankan permintaan sedia ada? Si kaya atau si miskin? Saranan ini menjadi polemik.

Ramai yang hilang punca, keluar daripada ehwal ekonomi negara, terus berpolitik pula.

Saya cuba menyelami hujah YB Rafizi dengan meneliti beberapa pandangan beliau yang menyusul beberapa hari yang lepas. Saya yakin YB Rafizi cenderung melihat kepada manfaat perkongsian data bersifat analitik.

Di sini ada ketepatan ekonominya. Saya "cuba" mentakrif apa yang sebenarnya ingin disampaikan oleh beliau.

Saya deraf semula kenyataan media untuk YB Rafizi, seperti berikut:

“Kerajaan menyedari bahawa kita kini berhadapan dengan tekanan ke atas harga, khususnya harga makanan dan juga kos makan di luar rumah. Walaupun kadar inflasi keseluruhan negara berada ditahap 4 peratus, kadar inflasi untuk kedua-dua kategori perbelanjaan ini meningkat dengan lebih tinggi iaitu 7.3 peratus dan 9.6 peratus.

Selain dari menangani aspek pengeluaran dan penawaran, membenteras tindakan monopolistik serta kartel yang menekan pengguna dan meningkatkan produktiviti pengeluaran makanan negara, pengguna juga mempunyai peranan untuk mempengaruhi dan memastikan harga di pasaran agar menjadi harga yang adil-untuk pengguna dan pengeluar.

"Kebijaksanaan pengguna" adalah kuasa pengguna yang dapat meredakan kenaikan harga, khususnya peningkatan harga yang tidak berpatutan. Pengguna berupaya mempengaruhi harga di pasaran dan mendispilinkan peniaga untuk menawarkan harga yang adil bersandarkan faktor penawaran dan permintaan yang asli.

Kerajaan akan meningkatkan perkongsian data dan maklumat kepada rakyat berkaitan harga barangan dan perkhidmatan dengan lebih kerap dan terperinci bagi membolehkan pengguna membuat keputusan yang terbaik dalam keputusan kepenggunaan masing-masing.

Satu pengkalan data dan info analitik yang bersifat "real time" dan khusus-lokasi serta mudah dicapai dan difahami oleh rakyat akan dibangunkan. Dengan maklumat yang terkini, lengkap dan mudah, rakyat akan boleh membuat perbandingan harga ke atas sesuatu barangan dan perkhidmatan di lokasi masing-masing.

Perkongsian maklumat dan data ini akan meningkatkan kebijaksanaan pengguna dalam membuat keputusan kepenggunaan serta juga mampu mendisiplinkan pengeluar/peniaga untuk menawarkan produk dan perkhidmatan pada harga yang adil dan kompetitif.

Di samping itu, kesediaan pengguna untuk membuat peralihan gaya hidup yang bersesuaian tanpa menjejaskan kualiti kehidupan juga akan ditingkatkan. Usaha yang khusus akan digerakkan bagi meningkatkan kefahaman rakyat tentang diet dan tatacara pemakanan sihat yang mampu dilaksanakan oleh rakyat.

Kebijakkan kepenggunaan seharusnya juga mewujudkan masyarakat yang sihat tubuh badan melalui pemakanan yang seimbang.

Dengan ini rakyat akan lebih bersedia membuat perubahan dalam raga perbelanjaan makanan mereka yang juga akan meredakan peningkatan harga yang berlebihan.

Kita harus menerima kenyataan dan bersedia untuk mengubah gaya hidup bersesuaian dengan anjakan negara ke status negara maju dan berpendapatan tinggi.

Kerajaan akan memastikan bahawa setiap lapisan masyarakat akan dapat menikmati pendapatan yang lebih baik dan kehidupan yang lebih berkualiti dengan anjakan status negara ini. Gaya hidup negara maju perlu diterapkan sebagai budaya hidup baru.

Kerajaan menggalakkan pembudayaan memenuhi keperluan hidup secara kendiri atau DIY - "Do it Yourself". Kebiasaan untuk makan di luar yang kini agak tinggi boleh dikurangkan dengan penyediaan makanan secara kendiri tanpa menjejaskan kualiti.

Penghasilan produk-produk berkaitan oleh pengusaha IKS mampu memenuhi anjakan gaya hidup ini. Pengusaha kedai makan juga boleh memperkenalkan model perniagaan yang baru agar dapat memenuhi keperluan makan di luar rumah pada kos yang berpatutan.

Kerajaan menyeru rakyat untuk tampil bersama, membantu kerajaan membendung kenaikan harga yang tidak berpatutan. Kerajaan menyanjung kebijaksanaan kepenggunaan rakyat. Kerajaan berazam untuk mewujudkan pasaran yang sihat dan adil untuk semua.

Usaha meningkatkan produktiviti pengeluaran makanan bagi memenuhi keperluan rakyat akan terus dipertingkatkan.

Dengan persaingan sihat dan produktiviti yang tinggi, harga yang adil akan tercapai, menang-menang untuk kedua belah pihak, pengeluar dan pengguna. Kerajaan akan terus berusaha mencari jalan yang terbaik bagi membendung kenaikan harga makanan. Sokongan rakyat amat dialu-alukan dan dihargai. Terima kasih dan wassalam.

Bagi Minda UKM: Ada ketepatan ekonomi, ada perubahan tingkah laku dan menang-menang untuk semua.


PROF DR NOOR AZLAN ialah Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (Minda-UKM).

Artikel ini pandangan penulis dan tidak mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.