Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Wee harap tambang penerbangan ke Sabah, Sarawak diturunkan

Bekas menteri pengangkutan Wee Ka Siong menggesa tambang penerbangan yang lebih murah antara Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur pada musim perayaan akan datang.

Dia berkata tambang pergi balik antara Semenanjung Malaysia ke Sabah dan Sarawak semasa musim perayaan sering menjadi isu hangat.

Menurut Wee, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (Caam) sebelum ini telah bertemu dan berbincang dengan syarikat penerbangan tempatan untuk menambah penerbangan tambahan lewat tengah malam.

Dalam satu kenyataan hari ini, bekas menteri pengangkutan itu berkata bahawa Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) juga pada dasarnya bersetuju dengan saranan untuk melanjutkan operasinya.

"Tak lama lagi kita akan menyambut Tahun Baru Cina dan selepas itu, Hari Raya Aidil Fitri. Kita mengharapkan agar pihak MAS, Air Asia, Batik Air dan sebuah syarikat penerbangan tempatan yang baru, MyAirline, yang mula beroperasi pada awal Disember 2022 ini (jika mampu), dapat merealisasikan cadangan tersebut serta menawarkan kadar tambang murah kepada para penumpang semasa musim perayaan.

"Menambah kapasiti dan jumlah penerbangan pada waktu puncak merupakan langkah berkesan bagi mengatasi kesesakan dan berupaya mengurangkan kadar tambang," katanya, sambil menambah ramai rakyat Malaysia menantikan perkara itu.

Wee menyuarakan keyakinannya bahawa langkah sedemikian boleh dilaksanakan, terutama dengan Kompleks Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) yang baru dilaksanakan.

Katanya, KLATCC akan meningkatkan pergerakan penerbangan di KLIA dan KLIA2 kepada 108 pergerakan sejam dengan penggunaan tiga lorong serentak, berbanding rekod sebelum ini iaitu 84 pergerakan sejam dengan hanya dua lorong.

Wee menjelaskan bahawa apabila sempadan baru dibuka pada Mei 2022, banyak syarikat penerbangan menghadapi kesukaran untuk menyediakan penerbangan tambahan kerana banyak pesawat tidak beroperasi semasa perintah berkurung Covid-19.

"Oleh itu, mereka perlu melalui proses MRO (penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih) yang agak lama sebelum dibenarkan beroperasi demi keselamatan orang ramai.

"Akan tetapi, pada waktu ini, lebih banyak pesawat sudah pun siap melalui proses MRO dan sudah tentu syarikat penerbangan mampu melakukan penerbangan pada waktu tengah malam dengan kadar tambang yang lebih rendah.

"Saya yakin perkara ini turut akan diusahakan oleh MOT di bawah Kerajaan Perpaduan Malaysia. Semoga syarikat-syarikat penerbangan dapat menawarkan penerbangan tambahan pada waktu tengah malam dengan harga yang rendah khususnya pada musim perayaan yang bakal menjelang tiba tidak lama lagi," katanya.

Menteri Pengangkutan semasa Anthony Loke Siew Fook akan menganjurkan sidang media dengan AirAsia esok mengenai tambang penerbangan sempena musim perayaan akan datang.