Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Gangguan kereta api Bukit Bendera sebab kebocoran hos brek trek

Perkhidmatan kereta api funikular Bukit Bendera di Pulau Pinang mengalami gangguan beberapa jam berikutan berlaku kebocoran pada hos brek trek, semalam.

Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) dalam kenyataan memaklumkan kereta api funikular itu mengalami gangguan pada kira-kira 4 petang dan ia kembali beroperasi seperti biasa pada 6.45 petang.

"Setelah siasatan dijalankan, pasukan penyelenggaraan PBBPP mendapati kebocoran pada hos brek trek dan memerlukan sedikit masa untuk menggantikan bahagian tersebut serta menghidupkan sistem dengan sepenuhnya.

"PBBPP ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pengunjung atas kesabaran anda terhadap gangguan perkhidmatan dan kami juga ingin menekankan bahawa perkhidmatan funikular dan keselamatan penumpang adalah keutamaan kami," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan PBBPP amat berterima kasih kepada perkhidmatan jip Persatuan Penduduk Bukit Bendera, perkhidmatan bas dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas tindakan pantas dalam menangani situasi kecemasan tersebut.

Selain itu, PBBPP amat menghargai kefahaman dan sokongan penduduk serta pengusaha perniagaan.

"PBBPP kesal dengan kejadiaan yang berlaku pada hari ini dan memohon maaf di atas segala kesulitan yang dialami," menurut kenyataan itu.

Media semalam, melaporkan kira-kira 1,000 pengunjung hampa apabila hasrat mereka untuk menikmati cuti sempena perayaan Krismas di puncak Bukit Bendera terkubur setelah perkhidmatan kereta api furnikular dilaporkan mengalami kerosakan.

Suasana di pekarangan stesen bawah itu dikatakan bertukar kecoh apabila ada dalam kalangan pengunjung yang tiba seawal 12 tengah hari mula meluahkan kekecewaan berikutan tempoh menunggu diambil hampir lima jam sehingga 5.15 petang.

Terdahulu, tular di media sosial klip video serta hantaran oleh pengunjung yang merungut berhubung masalah perkhidmatan funikular di Bukit Bendera sehingga menyebabkan ratusan penumpang terkandas di stesen bawah serta di puncak bukit tersebut akibat gangguan tersebut.

- Bernama