Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Air pasang: enam beranak di Sandakan bermalam dalam kereta

Bimbang laluan ke rumahnya terjejas akibat fenomena air pasang di sebuah perkampungan atas air di Sandakan, sebuah keluarga enam beranak mengambil langkah bermalam dalam kereta sebagai langkah keselamatan malam tadi.

Riden Abdul Mutalib, 43, berkata dia sekeluarga keluar rumah yang berkedudukan hampir dengan kawasan darat di Kampung Forest kira-kira sembilan malam apabila mendapati paras air laut mulai meningkat.

"Kami risau jambatan (ke rumah) roboh nanti, susahlah kami turun (keluar rumah).

"Sudahlah banyak rumah di laut sudah roboh (malam Sabtu lepas). Jadi, tiada lampu di sana," katanya ketika ditemui di kampung itu.

Riden berkata dia sekeluarga memilih untuk tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Sungai Anib 2 kerana mahu menyelamatkan barang lain milik keluarganya tetapi pihak keselamatan hanya membenarkannya pulang ke rumah apabila paras air telah surut.

"Mana yang kita boleh selamatkan, kita selamatkanlah...kita sangkakan tiada lagi air pasang kembali begini dalam," katanya.

Seorang lagi penduduk Kampung Forest Zulaikah Ali, 23, berkata dia sekeluarga juga memilih tidak berpindah ke PPS malam tadi sebaliknya menumpang rumah saudara yang berada pada paras kedudukan tinggi.

Jelasnya, insiden pecah masuk rumah di kawasan itu menjadi kebimbangan penduduk setiap kali sesuatu bencana berlaku.

Meskipun rumahnya tidak terjejas teruk oleh air pasang, dia berkata bekalan elektrik di kampung itu dimatikan sebagai langkah keselamatan susulan kejadian Sabtu lepas manakala seorang bapa saudaranya bertindak tinggal untuk menjaga rumah bagi mengelakkan pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan.

Pada malam 24 Dis lepas, kira-kira 100 rumah di Kampung Forest roboh akibat fenomena air pasang besar.

Setakat ini, sebanyak 684 orang melibatkan 122 keluarga ditempatkan di PPS SK Sungai Anib 2.

-Bernama