Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Konsortium gesa satu agensi saja kendali proses ambil pekerja asing

Konsortium Syarikat Pertengahan Malaysia (MCMTC) bersetuju dengan Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) agar satu agensi sahaja mengendalikan keseluruhan proses pengambilan pekerja asing untuk memastikan kejelasan, ketelusan dan kecekapan yang lebih tinggi.

Presiden MCMTC Callum Chen berkata Malaysia mempunyai populasi yang kecil dan banyak industri masih berintensif buruh dan bergantung kepada tenaga kerja asing.

“Setakat ini, memohon dan mendapatkan tenaga kerja asing memerlukan banyak masa, usaha dan kos untuk berurusan dengan pelbagai agensi seperti Kementerian Sumber Manusia (KSM), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Tenaga Kerja di bawah KSM dan bagi mereka dalam bidang pembuatan melibatkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri,” katanya dalam kenyataan.

Pada Februari 2022, pengurusan pekerja asing telah diserahkan kepada KSM daripada KDN.

Sementara itu, kerajaan perpaduan pada 21 Dis 2022 mengumumkan Sistem Satu Saluran (OCS) untuk menggaji pekerja domestik (pembantu domestik/rumah) ditempatkan di bawah KSM dan Pusat Sehenti (OSC) bagi pengurusan pengambilan pekerja asing di bawah KDN.

Chen berkata persoalan yang timbul di fikiran susulan pengumuman itu ialah mengapa wujud keperluan untuk melibatkan pelbagai kementerian, dengan pelbagai penyerahan dokumen.

“Adakah terdapat penambahbaikan dalam sistem atau lebih banyak kekeliruan? Boleh tak kita mempunyai satu kementerian dengan satu sistem dalam talian yang telus dan mudah digunakan?” soalnya.

KSM ialah organisasi payung yang menyelia perancangan, pengurusan dan pembangunan sumber tenaga kerja Malaysia, justeru, ia menjadi kementerian yang sesuai untuk menguruskan pengambilan serta pengurusan pekerja, kata kenyataan itu.

KDN mengawal hal ehwal imigresen seperti pengeluaran permit kerja.

FMM baru-baru ini menggesa kerajaan mengkaji semula keputusan untuk membahagikan peranan pengurusan pekerja asing antara KDN dan KSM.

Ia berkata keseluruhan pemprosesan permintaan buruh mesti dikendalikan oleh KSM manakala KDN perlu memberi tumpuan kepada isu keselamatan, pengeluaran visa yang berkaitan serta langkah kawalan sempadan seperti yang dilakukan di negara lain yang mempunyai pergantungan yang sama kepada pekerja asing untuk melengkapkan keperluan tenaga kerja negara.

-Bernama