Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Lebih 100 rumah atas air roboh di Sandakan akibat fenomena air pasang

Lebih 100 rumah atas air roboh manakala sekurang-kurangnya 500 rumah terancam akibat hujan berterusan dan fenomena air pasang tengah malam tadi di Kampung Forest di Sandakan, Sabah.

Menurut kenyataan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sandakan hari ini, sebanyak 29 keluarga melibatkan 162 orang termasuk 53 kanak-kanak dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Sungai Anib 2.

Jumlah mangsa dijangka meningkat memandangkan proses pendaftaran masih dijalankan pagi ini.

Sementara di Kampung Tinusa 2, sebanyak lima jambatan roboh dan dianggarkan 20 rumah terancam.

Ketika ditemui Bernama, Pengerusi Jawatankuasa Masjid Asmaul Husna Kampung Tinusa 2 Jeffri Ambo berkata 13 keluarga melibatkan 130 orang telah mengambil tindakan awal untuk berlindung di masjid berkenaan, manakala keluarga lain berpindah ke rumah jiran yang berkedudukan lebih tinggi.

"Setiap tahun kami menjangkakan cuaca hujan berterusan dan fenomena air pasang berlaku. Jadi, kami akan menjadikan masjid ini sebagai transit untuk penduduk datang berteduh.

"Sesiapa yang merasa rumah mereka tergugat kerana ombak dan air pasang dinasihatkan datang ke masjid sambil menunggu air surut," katanya.

Pegawai operasi APM Sandakan Josua Kudong berkata susulan fenomena air pasang di Kampung Tinusa 2, ombak mencecah 2.8 meter sejak 11 malam tadi dan mengancam kira-kira 20 rumah di kampung itu.

"Kerjasama penduduk kampung amat baik dan sentiasa peka mengenai keadaan sekitar dan amaran cuaca," katanya.

-Bernama