Tanah runtuh: Anggota APM pengsan sewaktu bertugas
Anggota APM berkenaan telah dibawa ke Hospital Selayang untuk menerima rawatan lanjut, maklum Jurucakap APM Selangor berkata Muhammad Faiq Haikhal Mohd Jeffrey.
Seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya di Batang Kali, pengsan dipercayai akibat keletihan melampau.
Jurucakap APM Selangor berkata Muhammad Faiq Haikhal Mohd Jeffrey dari cawangan Sabak Bernam pengsan kira-kira 1 tengah hari tadi dipercayai akibat cuaca panas terik, selain berkemungkinan dehidrasi kesan kurang minum air kerana terlalu fokus kepada pencarian mangsa.
"Beliau memulakan tugasnya hari ini pada 7.30 pagi tadi dan telah terlibat dalam operasi SAR tersebut secara bergilir mengikut jadual yang ditetapkan," katanya kepada Bernama di Batang Kali hari ini.
Menurutnya anggota APM berkenaan telah dibawa ke Hospital Selayang untuk menerima rawatan lanjut.
Setakat hari ini, tragedi runtuhan yang berlaku pada awal pagi 16 Dis lepas telah meragut 30 nyawa, manakala 61 selamat dengan berbaki seorang lagi masih hilang iaitu kanak-kanak lelaki.
Seramai 92 mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian berkenaan.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai