Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pengguna gembira pakej prabayar internet lebih murah

Rata-rata pengguna yang ditemui Malaysiakini menyambut baik langkah kerajaan memperkenalkan Pelan Data Perpaduan Prabayar Internet Mudah Alih pada harga yang lebih murah dan tiga kali lebih pantas berbanding pakej sedia ada.

Ahmad Zulfazli Mohd Fauzi, 24, berkata, dia menyokong pelaksanaan pakej prabayar internet yang diumumkan kerajaan kerana dapat membantu golongan yang memerlukan.

“Ini sedikit sebanyak dapat membantu golongan yang memerlukan seperti belia untuk memudahkan urusan seharian . Banyak manfaat yang boleh didapati daripada pelan internet yang murah dan boleh kurangkan kos perbelanjaan.

“Sebelum ini kebanyakan syarikat telekomunikasi tawarkan pelan internet yang mahal tapi servis belum tentu bagus jadi harapan saya mereka dapat ambil ini sebagai input untuk perbaiki servis sedia ada,” katanya yang baru menamatkan pengajian di universiti swasta.

Peniaga, Roslan Yahya, 31, (gambar) turut menyokong pakej prabayar internet yang lebih murah khususnya dalam membantu golongan pelajar menggunakan perkhidmatan internet.

“Sekarang ini pelajar pun perlukan kelajuan internet dan bila pakej yang ditawarkan lebih murah jadi pelajar pun mudahlah mendapatkan informasi daripada internet, serta lebih pantaslah untuk mereka membuat tugasan,” katanya.

Kelmarin Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil mengumumkan kerajaan akan memperkenalkan Pelan Data Perpaduan Prabayar Internet Mudah Alih pada harga RM5 sebulan dan tiga kali lebih pantas.

Pakej prabayar ini ditawarkan pada harga RM30 dengan data 30 gigabait (GB) untuk tempoh enam bulan, dengan kelajuan 3Mbps (megabit sesaat).

Fahmi berkata pelaksanaan pakej yang akan berada di pasaran Februari pada tahun depan itu melibatkan lima syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi.

Katanya, golongan yang disasarkan ialah belia berumur hingga 30 tahun, B40, orang kurang upaya (OKU), warga emas dan veteran pasukan beruniform.

Bantu warga emas, peniaga kecil

Seorang pesara guru, Masrah Sabran, 60, (gambar) berkata dia berpuas hati dan berterima kasih kepada kerajaan kerana membantu golongan B40 dan warga emas mendapatkan pakej prabayar internet yang lebih murah.

“Tambah-tambah lagi macam saya warga emas, gembiralah sebab dah ada pakej macam tu, malah B40 lagilah suka kalau harga internet prabayar dapat dikurangkan,” kata bekas guru agama itu.

Muhammad Ammar Al-Hakim Ishak, 24, berpendapat pakej internet prabayar yang lebih murah turut membantu peniaga kecil untuk menjalankan perniagaan secara dalam talian.

“Sesetengah peniaga industri kecil dan sederhana ini terkesan dan terbeban dengan pakej prabayar internet yang sedia ada.

“Oleh itu, saya berharap agar pakej prabayar internet yang diperkenalkan oleh kerajaan akan berkekalan atau mungkin dapat ditambah baik untuk membantu peniaga-peniaga industri kecil dan sederhana di masa hadapan,” jelas pekerja swasta itu.

Sementara itu Aisyamuddin Osman, 26 turut menyokong langkah kerajaan dan berharap rangkaian 5G ke seluruh negara dipercepatkan.

“Saya sokong pakej yang diperkenalkan kerajaan kerana golongan B40 memerlukan internet yang pantas terutama pelajar.

“Cuma minta juga kerajaan mempercepatkan rangkaian internet 5G ke seluruh kawasan Malaysia,” katanya.