'Khairuddin ada kelebihan luar biasa, tahu agenda peribadi saya'
Ketua sayap wanita Pejuang Che Asmah Ibrahim menyangkal dakwaan yang dibuat oleh Khairuddin Abu Hassan bahawa dirinya mempunyai agenda peribadi, bukannya berusaha membina kekuatan parti.
Che Asmah juga meminta Khairuddin memberi penjelasan berkenaan dakwaan yang dibuatnya itu.
"Itu dia yang kata. Kena minta dia jelaskan. Dia ada kelebihan luar biasa boleh tahu agenda kepentingan peribadi saya," kata Che Asmah ketika dihubungi Malaysiakini.
Semalam, Khairuddin yang baru saja letak jawatan sebagai ketua Pejuang Wilayah Persekutuan melancarkan serangan keras terhadap pihak yang dirujuknya sebagai “munafik politik, parasit dan pengkhianat” dalam parti itu.
Dia antara lain berkata terdapat ketegangan antaranya dengan pihak tersebut, yang tidak dinamakan secara khusus.
Bagaimanapun dia memetik nama Che Asmah dengan menyifatkannya sebagai "pemimpin baru separuh masak" yang telah merosakkan Pejuang kerana mempunyai agenda kepentingan diri dan tidak membina kekuatan parti.
Che Asmah juga berkata bahawa dia tidak perlu bersikap defensif terhadap dakwaan itu, sebaliknya Khairuddin yang perlu membuktikannya.
"Dia sudah cukup bijak. Tidak perlu apa-apa nasihat dari saya," katanya lagi, sambil menambah dia tiada sebarang masalah dengan Khairuddin.
Berkenaan dakwaan ada golongan "“munafik politik, parasit dan pengkhianat” dalam Pejuang, dia berkata perkara itu perlu ditanyakan sendiri kepada Khairuddin.
Malaysiakini sebelum ini difahamkan terdapat ketegangan dalaman berpunca daripada hala tuju parti selepas kalah teruk dalam pilihan raya umum lalu.
Satu sumber berkata terdapat pandangan supaya Pejuang mengambil pendekatan mesra kerajaan baru dengan harapan dapat memasuki pilihan raya negeri tahun depan dengan lebih mudah.
Satu pihak lagi pula didakwa mahu Pejuang kekal bebas dan dibina semula dari bawah.
Bagaimanapun, dakwaan ini masih dakwaan sebelah pihak dan belum disahkan dengan pihak lain.
Mengulas keadaan dalaman Pejuang mutakhir ini, selepas ada pemimpin yang meletakkan jawatan, Che Asmah hanya berkata ia adalah perkara biasa dan tidak menjejaskan perjalanan parti.
"Kami juga dalam proses mengisi kekosongan jawatan yang berlaku. Ini perkara biasa dalam mana-mana organisasi. Kita hormati hak individu masing-masing," katanya.
16 Disember lalu, bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad mengumumkan meletakkan jawatan sebagai pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan diikuti beberapa pemimpin lain termasuk setiausaha politik ketika Mahathir menjadi perdana menteri, Abu Bakar Yahya, Ketua Pemuda Pejuang Abu Hafiz Salleh Hudin dan Khairuddin sendiri.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai