Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Persatuan pengguna sambut baik pakej prabayar baru kerajaan

Pelan Data Perpaduan prabayar internet mudah alih yang diperkenalkan kerajaan dengan harga lebih murah dan kelajuan yang lebih tinggi mendapat maklum balas positif daripada persatuan pengguna.

Ketua Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Paul Selvaraj ketika dihubungi Malaysiakini berkata mereka menerima baik langkah itu kerana dapat mengurangkan beban pengguna.

“Baguslah jika harga murah dan lebih cekap, ia akan manfaatkan penggunalah. 

“Ia satu tindakan positif untuk mengurangkan beban dan kita juga dapat satu sistem yang lebih cekaplah untuk kelajuan lebih (tinggi) dan kos lebih rendah,” katanya.

Semalam, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mengumumkan pelan data pada harga dua kali ganda lebih murah iaitu RM5 sebulan dan tiga kali lebih pantas 3Mbps  yang akan berada di pasaran Februari tahun depan.

Pelaksanaan pakej itu melibatkan lima syarikat telekomunikasi iaitu CelcomDigi, Maxis, UMobile, Telekom Malaysia (TM) dan YTL Communications.

Pakej baru itu yang asalnya untuk golongan remaja diperluas kepada golongan belia berumur hingga 30 tahun, golongan 40 peratus berpendapatan paling rendah (B40), orang kurang upaya (OKU), warga emas dan veteran pasukan beruniform.

Sementara itu, Paul berkata, tindakan Kementerian Komunikasi dan Digital itu dapat mengurangkan kos hidup secara tidak langsung.

“Ini satu langkah yang saya rasa agak positif dari menteri baru terhadap kos internet, kos prabayar dan juga kos sara hidup secara menyeluruh,” tambahnya.

Dia berkata internet dan telefon sudah menjadi keperluan asas.

“Dan jika kerajaan boleh ambil tindakan untuk mengurangkan perbelanjaan di dalam sektor ini, saya rasa sedikit sebanyak akan kurangkan beban pengguna,” jelasnya.