Undi timbalan speaker: Dua MP PN pilih BN, dua MP k'jaan tak hadir
Pemilihan timbalan speaker pada hari Isnin menghasilkan keputusan ganjil apabila kedua-dua calon kerajaan menerima jumlah undi yang berbeza.
Ramli Mohd Nor (BN-Cameron Highlands) memperoleh 148 undi manakala Alice Lau (PH-Lanang) mendapat 146 undi.
Pada mulanya diandaikan bahawa dua ahli parlimen kerajaan tidak mengundi Lau.
Bagaimanapun, ahli parlimen yang enggan dikenali memberitahu Malaysiakini bahawa mereka dimaklumkan dengan pasti bahawa dua ahli parlimen kerajaan itu sebenarnya tidak hadir semasa pemilihan timbalan speaker.
Semakan oleh Malaysiakini terhadap siaran langsung parlimen mendapati salah seorang daripada dua penyokong kerajaan yang tidak ada ialah M Saravanan (BN-Tapah).
Kerusinya masih kosong dari sebelum waktu pengundian sehingga selesai. Namun, Saravanan hadir kemudian semasa undi percaya terhadap perdana menteri.
Ketika dihubungi, Saravanan berkata dia telah keluar untuk makan tengah hari tetapi tidak kembali pada waktunya untuk pengundian timbalan speaker.
"Bila saya masuk parlimen dia orang tengah kira undi dah," katanya kepada Malaysiakini.
Dia juga mendakwa tidak dimaklumkan bahawa pemilihan timbalan speaker akan dijalankan sejurus selepas waktu rehat tengah hari.
Tidak jelas siapa ahli parlimen penyokong kerajaan kedua yang hilang atau jika salah seorang daripada mereka tidak mengundi sepenuhnya.
Tidak mengundi semasa pemilihan timbalan speaker tidak mungkin bertentangan dengan memorandum perjanjian antara ahli parlimen kerajaan, kerana ia bukan usul percaya atau rang undang-undang fiskal.
Sementara itu, sumber ahli parlimen berkata mereka dimaklumkan oleh kakitangan Dewan Rakyat bahawa dua undi tambahan untuk Ramli adalah daripada Perikatan Nasional, walaupun identiti mereka tidak didedahkan kepada ahli parlimen.
Ahli parlimen dibenarkan mengundi sama ada satu atau dua daripada tiga calon timbalan speaker.
Calon ketiga, Ahli Parlimen PN Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsudin mendapat 74 undi sahaja.
Undian semasa pemilihan speaker dan timbalan speaker kini adalah rahsia dan tidak didedahkan dalam hansard.
Mengikut peraturan tetap mesyuarat parlimen - kertas undi pada masa ini dimeterai dalam kotak selamat yang akan disimpan selama sebulan.
Selepas satu bulan, melainkan jika diarahkan sebaliknya, undi itu akan dimusnahkan.
Peraturan parlimen itu tidak menyebut siapa yang dibenarkan membuka kotak itu - tetapi keputusan itu mungkin terletak pada Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebagai ketua anggota Dewan Rakyat.
Pemilihan speaker dan timbalan speaker setakat ini merupakan satu-satunya penanda aras sejauh mana sokongan Anwar di Dewan Rakyat memandangkan usul percaya kepadanya diluluskan melalui undi suara.
Boleh dikatakan perdana menteri mempunyai 148 ahli parlimen di pihaknya berdasarkan pemilihan Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul.
Pada pemilihan itu, Johari mendapat 147 undi, manakala seorang timbalan menteri - Hanifah Hajar Taib (GPS-Mukah) - terlepas pengundian atas sebab kesihatan.
Dengan Hanifah, jumlah undi untuk Johari mungkin 148 - jumlah majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai