Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

ULASAN | Cabaran DAP pecahkan politik perkauman sempit

ULASAN | Ketika persaingan PRU15 bertambah sengit dan buntu, kebanyakan parti politik memilih jalan selamat dengan mencalonkan semula kebanyakan penyandang di kerusi Parlimen.

Ketika kebanyakan penyokong parti secara umumnya menerima sebarang keputusan dibuat parti, DAP keluar dari zon selesa dengan mengetengahkan calon-calon Melayu.

Ada yang berpendapat ia merupakan satu eksperimen yang akan mendatangkan risiko kekalahan kepada parti terbabit. Namun Setiausaha Agung DAP Anthony Loke menyatakan langkah berkenaan membuktikan keterbukaan dan komitmen parti itu mengangkat pemimpin berbilang kaum, termasuk Melayu.

Kata Loke, sama ada DAP meletakkan seorang atau ramai calon Melayu pun, pihak lawan tetap akan memainkan sentimen perkauman dengan memburukkan parti berkenaan.

Pada masa sama DAP yakin rakyat atau pengundi kini semakin bijak memilih pemimpin yang mampu memberi khidmat terbaik buat mereka.

Parti lawan beranggapan DAP tidak laku di kawasan yang ada lebih 60 peratus pengundi Melayu. Tindakan meletakkan calon Melayu di situ hanya memberi peluang kemenangan parti lawan.

Sejauh manakah dakwaan tersebut benar?

Dalam PRU lalu, prestasi calon Melayu DAP di kerusi marginal cukup baik. Syerleena Rashid, calon PH di parlimen Bukit Bendera dan Syahredzan Johan di Bangi memenangi kerusi masing-masing.

Ia membuktikan sokongan pengundi di kerusi marginal kepada PH kekal kukuh meskipun DAP menukar calon ahli parlimennya terdahulu dengan calon Melayu.

Young Syefura

Tumpuan calon Melayu DAP di kerusi marginal ialah di kawasan parlimen Bentong dan Ayer Hitam. Kedua-dua kerusi itu berstatus ‘heavyweight’ kerana DAP menawarkan calon Melayu DAP untuk menguasai kubu kuat pemimpin kanan MCA.

Di Bentong, Young Syefura Othman berdepan dengan bekas presiden MCA Liow Tiong Lai, selain dan bekas wakil rakyat DAP pada 2018 yang bertanding sebagai calon bebas, Wong Tack. Persaingan itu bukan mudah.

PH perlu mempertahankan kemenangan di Bentong yang mereka menang buat kali pertama pada PRU14.

Di sebalik ketidaktentuan itu Young Syefura berjaya mempertahankan kerusi Bentong untuk PH walaupun dengan majoriti undi kecil. Tugasnya yang cemerlang sebagai adun Ketari selama satu penggal sebelum itu memberi kelebihan untuk menarik sokongan pengundi Bentong.

Sementara itu di Ayer Hitam, misi DAP untuk memenangi kerusi tersebut agak tinggi memandangkan penyandang, Wee Ka Siong memenangi dengan majoriti hanya 303 undi pada 2018.

Keputusan meletakkan Sheikh Omar Bagharib Ali yang juga bekas exco negeri Johor dan adun Paloh itu merupakan langkah strategik DAP untuk menawan kerusi yang mempunyai 57 peratus pengundi Melayu.

Namun majoriti pengundi masih mengekalkan Wee sebagai ahli parlimen Ayer Hitam. Sheikh Omar bukan calon Melayu pertama yang tewas di Ayer Hitam. Sebelum ini, Wee mengetepikan Zamri Mat Takis dan Hussin Sujak yang mewakili PAS masing-masing pada PRU11 dan PRU12.

Syahredzan Johan

Situasi calon DAP di Bentong dan Ayer Hitam ini agak menarik. Kemenangan PH di Bentong signifikan kerana ia dianggap kubu kuat MCA dan ada ramai pengundi Cina di situ.

Namun mereka mempunyai keyakinan untuk memberikan undi kepada Young Syefura.

Pengundi Ayer Hitam pula mengekalkan ahli parlimen MCA-BN meskipun ia merupakan kerusi parlimen yang mempunyai 57 peratus pengundi Melayu.

Kedua-dua situasi tersebut menunjukkan keterbukaan pengundi Cina dan Melayu yang boleh menerima pemimpin daripada kaum yang berbeza.

Sementara itu calon Melayu DAP yang bertanding pertama kali di kawasan memiliki lebih 70 peratus pengundi Melayu (seperti Grik, Jerai, Pontian, dan Mersing) tetap tidak hilang deposit walaupun dalam situasi pertembungan lebih tiga penjuru dan ledakan 'gelombang hijau' yang menjejaskan PH.

Berdasarkan keputusan PRN Johor pada Mac lalu, calon Melayu DAP di Pontian dan Mersing akan tewas dan hilang deposit.

Namun, perkara tersebut tidak berlaku. Calon Melayu DAP di Mersing, Zulaikha Zaidi, dan Shazwan Zainal di Pontian berjaya menarik sokongan pengundi dan memastikan PH tidak hilang wang deposit seperti pada PRN Johor.

Perkara itu turut berlaku kerana kadar keluar mengundi yang lebih baik berbanding semasa PRN.

PRU15 membuktikan komitmen DAP mengetengahkan calon Melayu sebagai pemimpin bagi semua lapisan masyarakat. Pun begitu dari sudut yang berbeza, perjalanan DAP masih lagi panjang dan berliku.

Pendekatan realistik seperti mengubah sudut pandang parti terhadap politik Melayu yang bertambah kompleks dan dipenuhi kerencaman politik identiti wajar dipertimbangkan supaya calon diketengahkan nanti mudah menyantuni pengundi di kawasan majoriti Melayu.

Politik Melayu bukan berlegar pada isu sekitar jumlah peruntukan disalurkan wakil rakyat DAP atau PH kepada institusi Melayu dan Islam. Bukan juga sekadar program memberi bantuan kebajikan semata-mata.

Ia adalah soal komitmen DAP menyantuni pengundi Melayu dalam menguruskan periuk nasi yang kian mencabar.

Bagi pengundi Melayu yang kian terbuka pada hari ini pula, mereka wajar menilai DAP dari segi prestasi dan kesungguhan parti dalam menyantuni rakyat. Pendekatan ini lebih berbaloi berbanding menerima bulat-bulat saja apa yang dikatakan pemimpin politik.

Jika DAP sentiasa komited menyantuni pengundi Melayu dengan pendekatan baru, sudah pasti ia akan meningkatkan keyakinan pengundi memilih DAP sebagai parti kerajaan.

Jika tidak, DAP akan berhadapan dengan cabaran lebih besar untuk meyakinkan pengundi yang kian pelbagai dan kompleks pada masa akan datang.

Soalnya, apakah DAP mampu menambah baik usaha mengetengahkan calon Melayu, khususnya dalam enam PRN tidak lama lagi?


FAKHRURRAZI RASHID ialah penyelaras penyelidik Pusat Penyelidikan Untuk Kemajuan Masyarakat (Refsa).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.