Isu Sosma: Muda bidas Saifuddin
Muda mengkritik pendirian Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution bahawa dia tidak bercadang untuk mengkaji semula Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 yang dikenali sebagai Sosma.
"Laungan reformasi itu berasaskan dari semangat mahu mengubah institusi dan sistem kenegaraan yang lebih baik, saya kira wajar kerajaan hari ini berpandukan kepada hasrat murni ini.
"Sekiranya kita kembali kepada sistem dan takuk yang lama, kelak apa bezanya dengan kerajaan-kerajaan sebelum ini," soal Naib Presiden Muda Zaidel Baharudin pada satu kenyataan hari ini.
Dalam sidang media pada 13 Dis, menteri dalam negeri yang baru itu berkata dia tidak berhasrat untuk menyemak semula Sosma.
Saifuddin menyatakan bahawa Sosma bukanlah undang-undang penahanan tanpa bicara tidak seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri 1967 (ISA) yang sudah dimansuhkan.
Dia berhujah bahawa undang-undang itu hanya membenarkan penahanan selama 28 hari dan suspek akan mendapat akses kepada perkhidmatan guaman jika kes itu dibawa ke mahkamah.
Bagaimanapun, kata Zaidel pada asasnya Sosma masih satu "undang-undang yang sangat berat sebelah."
Ini walaupun akta itu kelihatan lebih progesif berbanding ISA, jelasnya.
"Sosma memberikan banyak kuasa yang diberikan kepada pihak penguasa tanpa sebarang semak dan imbang, sebagai contoh penahanan selama 28 hari tanpa perlu melalui proses mahkamah (dalam tempoh penahanan) kalau jatuh kepada individu biasa, itu merupakan satu hukuman yang amat berat tanpa sebarang perbicaraan atau pertuduhan.
"Sosma juga membenarkan pihak penguatkuasa memintas komunikasi secara terus tanpa sebarang mekanisme semak dan imbang yang jelas.
"Saya berpendapat kuasa yang menyeluruh seperti ini membolehkan ianya terdedah kepada penyalahgunaan," kata Zaidel lagi.
Pakatan Harapan atau mana-mana parti lain tidak berjanji untuk mengkaji semula atau memansuhkan Sosma dalam manifesto menjelang pilihan raya 19 Nov.
Namun, pada masa lalu pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin yang ditahan pada 18 Nov 2016 selama 10 hari.
Dia dilaporkan berkata bahawa penahanan itu, yang berlaku pada malam perhimpunan Bersih 5.0, adalah zalim dan menindas.
Maria ditahan dalam kurungan bersendirian di dalam sel tanpa tingkap berukuran 15 kaki kali lapan kaki, dan dinafikan katil, dalam apa yang disifatkannya sebagai "penahanan ala ISA".
Pada Januari 2020, peguam negara ketika itu Tommy Thomas berkata Putrajaya berhasrat untuk meminda Seksyen 13(1) pada Mac tahun itu. Bagaimanapun, berlaku pertukaran kerajaan tidak lama kemudian.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai