Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Penyelidik Malaysia menang anugerah sains kerajaan Korea

Penyelidik Malaysia Annie Chai Wai Yeeng memenangi anugerah sains dan teknologi anjuran Korea Selatan susulan penyelidikannya berkaitan rawatan barah.

Chai memenangi anugerah itu bagi kategori “Next Asean Innovator” dalam Anugerah Kecemerlangan Sains, Teknologi dan Inovasi 2022.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) Malaysia hari ini mengucapkan tahniah kepada Chai yang juga saintis kanan di Pusat Penyelidikan Kanser Malaysia.

Chai dianugerahkan wang tunai sebanyak AS$12,000 dan dijemput menghadiri program latihan selama seminggu bermula 27 November hingga 3 Disember di Seoul serta diberi peluang berkongsi hasil kerjanya.

Menurut Mosti, Chai membangunkan penyelidikan dalam mengenal pasti gabungan ubat sinergistik melalui pengaplikasian pembelajaran mesin, terutamanya berkenaan kanser kepala dan leher (HNC) yang berasal dari Asia.

Menurut Mosti, anugerah itu diadakan untuk menggalakkan penglibatan saintis dan jurutera muda dalam penyelidikan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) serta mengiktiraf pencapaian akademik dan profesional saintis serta jurutera Asean.

Kejayaan ini adalah yang kedua buat Malaysia.

Sebelum ini Nur Hafizah Abd Khalid dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memenangi kategori sama dua tahun lalu.