Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Saifuddin perlu tangani isu tahanan Sosma dinafi jaminan - NGO

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution digesa meminda peruntukan dalam Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 yang menafikan jaminan kepada mereka yang didakwa mengikut undang-undang itu.

Pertubuhan Rakyat Malaysia Menentang Hukuman Mati dan Penyeksaan (Madpet) berkata dengan menghapuskan Seksyen 13(1) undang-undang itu akan membolehkan mahkamah memutuskan sama ada memberi jaminan atau tidak.

“Adalah tidak masuk akal (misalnya ada kes) bagi seseorang yang didakwa memiliki sebuah buku untuk meringkuk di penjara tanpa jaminan.

"Walaupun selepas perbicaraan, apabila tertuduh didapati tidak bersalah dan dibebaskan - kerugian yang dialami kerana pemenjaraan tidak dibayar pampasan oleh kerajaan," kata jurucakap Madpet, peguam Charles Hector (gambar, bawah) pada satu kenyataan hari ini.

Pada Januari 2020, peguam negara ketika itu Tommy Thomas berkata Putrajaya berhasrat untuk meminda Seksyen 13(1) pada Mac tahun itu. Bagaimanapun, berlaku pertukaran kerajaan tidak lama kemudian.

Madpet juga berhujah Saifuddin mesti menyemak semula peruntukan dalam Sosma yang tidak menghendaki polis mengemukakan suspek di hadapan majistret dalam tempoh 24 jam selepas tangkapan, sekali gus melanggar Perlembagaan Persekutuan.

“Peranan yang dimainkan oleh Majistret untuk melindungi hak suspek dan mencegah penderaan oleh polis mesti dipulihkan,” kata Hector.

Perkara 5 (3) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan: “Jika seseorang ditangkap dan tidak dilepaskan, maka orang itu hendaklah tanpa kelengahan yang tidak munasabah, dan walau bagaimanapun dalam tempoh dua puluh empat jam (tidak termasuk masa apa-apa perjalanan yang perlu) dibawa ke hadapan majistret dan orang itu tidak boleh ditahan dalam jagaan selanjutnya tanpa kebenaran majistret itu.”

Madpet bertindak balas terhadap Saifuddin yang mempertahankan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 sedia ada.

Saifuddin berhujah bahawa undang-undang itu bukanlah undang-undang penahanan tanpa bicara tidak seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri 1967 (ISA) yang sudah dimansuhkan.

Menteri itu berhujah bahawa Sosma hanya membenarkan penahanan selama 28 hari dan suspek akan mendapat akses kepada perkhidmatan guaman jika perkara itu dibawa ke mahkamah.

Kajian semula atau pemansuhan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 - lebih dikenali sebagai Sosma - tidak termasuk dalam manifesto Pakatan Harapan mahupun mana-mana gabungan lain menjelang pilihan raya 19 Nov.

[Baca berita asal]