Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

GRS yakin 4 MP Sabah keluar Bersatu tak terjejas undang-undang antilompat parti

Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menjelaskan bahawa empat ahli parlimen Bersatu Sabah yang keluar Bersatu yakin langkah mereka tidak melanggar undang-undang antilompat parti.

Setiausaha Agung GRS Masidi Manjun berkata dalam satu kenyataan hari ini bahawa mereka sedar sepenuhnya tentang undang-undang berkenaan ketika bertanding pada pilihan raya umum (PRU) ke-15.

“GRS dan empat ahli parlimen itu menyedari sepenuhnya undang-undang antilompat parti telah berkuat kuasa pada 5 Okt 2022 sebelum mereka bertanding sebagai calon untuk PRU ke-15.

“Mereka akan memaklumkan kepada speaker Parlimen, jika dan apabila perlu mengenai kedudukan mereka dan akan mengeluarkan kenyataan sewajarnya.

"Kami yakin mereka tidak akan terjejas oleh undang-undang antilompat parti," kata Masidi, dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, bekas menteri undang-undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata empat ahli parlimen Sabah yang meninggalkan Bersatu tidak mempunyai pilihan selain mengosongkan kerusi mereka sebaik sahaja mereka secara rasmi keluar parti.

Wan Junaidi, yang merupakan menteri yang menyelia kelulusan undang-undang antilompat parti awal tahun ini, berkata ini demikian meskipun mereka kekal menyokong GRS.

Wan Junaidi berkata undang-undang berkenaan mengambil kira faktor parti dan bukannya gabungan.

Empat ahli parlimen itu memenangi kerusi mereka di bawah tiket GRS, yang merupakan parti politik berdaftar secara rasmi yang berfungsi sebagai platform gabungan untuk Bersatu Sabah dan empat parti berpangkalan di Sabah bertanding pada PRU ke-15.

Empat Ahli Parlimen terbabit ialah Armizan Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Jonathan Yasin (Ranau) dan Matbali Musah (Sipitang).

Dilaporkan semalam bahawa Bersatu Sabah hampir lumpuh sepenuhnya selepas ketuanya, Hajiji Noor mengumumkan bahawa ahlinya telah keluar parti dan akan menubuhkan parti lain.

Mereka termasuk empat ahli parlimen dan 15 Adun.

Bersatu Sabah mempunyai lima ahli parlimen - empat daripadanya bertanding di tiket GRS semasa PRU15.

Undang-undang antilompat parti tidak menjejaskan 15 Adun dan kerajaan negari kerana DUN Sabah belum menggubal undang-undang berkaitan.