Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PULASAN | Asyiknya menyaksikan permainan Maghribi

PULASAN | Kata sahibul hikayat, pada pertengahan Okt 1980 skuad bola sepak Malaysia menjinakkan Maghribi dengan bergaya. Dua gol diledakkan ke gawang pasukan The Atlas Lion itu.

Antara pemain yang mewakili skuad kebangsaan ketika itu ialah Hassan Sani, Soh Chin Aun, Santokh Singh, Bakri Ibni, dan sudah tentu Mokhtar Dahari. Pintu gol negara pula dikawal dengan cemerlang oleh Chow Chee Keong.

Rasanya kemenangan itu diraikan sekadarnya saja, dan tidak dianggap penting berbanding kejayaan lain yang pernah dicatat pasukan kebangsaan. Misalnya kemampuan layak ke Sukan Olimpik.

Lagipun, siapalah sangat Maghribi pada 1970-an dan 1980-an, kan?

Mokhtar Dahari dan Soh Chin Aun.

Kemudian datanglah tarikh 11 Dis 2022 dan tiba-tiba nama Maghribi menjadi suatu kekaguman bukan saja di Rabat, Casablanca Fes dan Marrakesh malah di seluruh dunia.

Di Malaysia juga ia diraikan dengan ketara buat seketika sebelum kekaguman itu perlahan-lahan menjadi kehibaan yang sangat dalam. Perlahan-lahan orang muda sedar yang skuad kita pernah menundukkan Maghribi.

Dan kita juga semakin terkenang bagaimana Malaysia dulu disegani lawan dan sama tarafnya dengan pasukan seperti Korea Selatan, Jepun, China dan seumpamanya.

Terus merintih, berhiba-hibaan

Hari ini negara tersebut boleh dianggap sebagai peserta tetap temasya Piala Dunia sedangkan Harimau Malaya masih bergelut waima untuk menjadi gah di peringkat serantau saja.

Dan lebih (malang) daripada itu, nampaknya masih ada budaya pemain yang 'merengek' andai ada sesuatu isu berkaitan pembaharuan dibuat pihak yang bertanggungjawab.

Kadang-kadang perjalanan bakat baru bola sepak itu terkandas disebabkan masalah makanan yang tidak lagi sama seperti di negara sendiri, atau dikerah kudratnya untuk berlatih lebih teruk dari biasa.

Itu belum lagi termasuk masalah peribadi seperti bercinta dengan artis.

Dalam konteks ini, kesukaran berubah itu biasanya membabitkan pihak dari luar yang dibawa ke negara ini bagi memberi input baru, sekali gus meneroka jalan yang tidak pernah - atau enggan - kita lalui.

Misalnya, jurulatih.

Dengan sikap yang 'ketegaq' itu, ditambah dengan kentalnya kita terus bernostalgia tentang 'kejayaan' silam, maka kita pun teruslah merintih, meratap dan berhiba-hibaan menangisi nasib malang negara ini.

Lihat juga bagaimana Qatar dengan bergaya mempersembahkan Islam itu sebagai agama yang ramah dan penuh kasih sayang melalui watak Ghanim al-Muftah yang digandingkan dengan Morgan Freeman.

Ia berlangsung dengan bersahaja tetapi berjaya.

Kemudian datanglah skuad Maghribi yang meneruskan dakwah secara praktik dan lihai mereka yang menyambung aksi-aksi seumpamanya yang ditunjukkan oleh pemain semisal Mohamad Salah.

Piala Dunia itu disaksikan oleh seluruh dunia, dan hal-hal indah dan ramah itu dipertontonkan dengan berkesan oleh mereka itu. Dan kita di sini hanya menumpang bangga.

Tuhan juga menunjukkan bahawa perangai dan adab yang baik itu juga boleh ditonjolkan oleh bangsa dari benua Afrika, bukan lagi Arab dari sekitar Timur Tengah semata-mata.

Labun Bani Tamim

Ia adalah isyarat bahawa agama berkenaan dapat diangkat martabatnya oleh sesiapa saja, termasuk bangsa Melayu. Tetapi malangnya di tanah air ini bangsa Melayunya diceritakan tentang labun Bani Tamim yang ditafsirkan sebagai bangsa Tanah Melayu.

Ia adalah sebuah jenaka yang hanya layak diceritakan oleh seorang 'tuan garu' namun dikeluarkan dari mulut tokoh berpengaruh yang diberikan gelaran tuan guru.

Isunya sekarang ialah, bukanlah negara-negara lain itu bergerak terlalu laju dalam pembangunan bola sepak. Mereka hanya berusaha dengan pelbagai inisiatif seiring dengan perkembangan dunia.

Juga keberanian untuk selalu mencuba dan berubah. Sedangkan kita ini nampaknya sentiasa selesa dengan apa yang ada.

Ketika negara lain melangkah ke depan dan semakin gigih, kita pula kekal bersahaja. Terutama dalam kalangan jenis orang yang percaya Melayu ini teramat istimewa penciptaannya.

Kita pun disibukkan dengan kegiatan berlumba-lumba mahu menerakakan sesiapa saja yang tidak sehaluan dengan pandangan kita. Semua orang salah kecuali diri kita sendiri.

Apabila kehendak hati tidak dapat dicapai, kita pun tuduh pengadil mengubah tiang gol. Dasar tak tahu malu.


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini yang mengimpikan orang politik berkias tentang buaya yang bermain bola sepak.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.