Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Johor mula dilanda banjir, mangsa di Kelantan, Pahang naik

Seramai 2,334 mangsa banjir daripada 691 keluarga di tempatkan di 25 pusat pemindahan sementara (PPS) di lima negeri setakat petang tadi.

Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat kemaskini terakhir antara jam 4.30 petang ke 6.22 petang tadi memaklumkan negeri terbabit adalah Pahang, Terengganu, Perak, Kelantan dan Johor.

Di Pahang, banjir mula menenggelami kawasan di daerah Bera, Temerloh, Jerantut, Lipis dan Raub.

Seramai 561 mangsa daripada 168 keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kerayong, SK Seri Buntar, Balai Raya Kampung Sempadan, SK Batu Balai, Masjid Beletik, Balai Raya Kampung Ria, Masjid Jamek Kuala Semantan, SK Lubuk Kulit, SK Ulu Atok dan Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Semantan.

Di Terengganu, seramai 576 mangsa banjir daripada 146 keluarga dipindahkan ke PPS di Dewan Abdul Rahman Limbong, SK Kampung Baru Kerteh, SK Kemasik, SK Tok Jembal, SK Bukit Nanas, SK Atas Tol, Balai Raya Kampung Bukit Nenas dan Surau Mak Bakas.

Di Kelantan, seramai 1,045 mangsa daripada 339 keluarga ditempatkan di PPS Putat Tujoh, SK Kubang Gual, SK Gual Periok dan SK Tok Deh.

Di Perak, seramai 125 mangsa daripada 29 keluarga dipindahkan ke PPS Dewan Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib (SMART) di Hilir Perak.

Sementara itu, Johor mula dilanda banjir dengan 27 mangsa daripada sembilan keluarga ditempatkan di PPS Balai Raya Kampung Batu Badak di Segamat.