Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pantun lupa sengketa: Steven Sim jual, Ahmad Maslan beli

Walaupun pernah menjadi seteru politik, kini Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan dan Setiausaha Organisasi DAP Steven Sim sepakat melupakan sengketa lama apabila keduanya dilantik sebagai timbalan menteri kewangan.

Selepas istiadat mengangkat sumpah jawatan di Istana Negara pada hari ini, Sim membuat hantaran serangkap pantun di Twitter.

Ahli parlimen Bukit Mertajam itu berkata demi pertiwi dia akan bekerja bersama dengan Ahmad di Kementerian Kewangan (MOF).

"Sama-sama dayung bahtera,

Dayung arah kota permata;

Sama-sama bangun negara,

Junjung titah lupa sengketa."

Tidak lama kemudian, Ahmad membalas ciapan Sim, berkata "kita jumpa di pejabat MOF" sambil disertai serangkap pantun:

"Dayung arah, kota permata,

Handal panglima, jadi hikayat,

Junjung Titah, lupa sengketa,

Ayuh bersama, demi rakyat."

Ahmad yang juga ahli parlimen Pontian dilantik semula sebagai timbalan menteri kewangan portfolio yang pernah dipegangnya ketika era pentadbiran bekas perdana menteri Najib Razak.

Sim pula pernah menjadi timbalan menteri belia dan sukan semasa pentadbiran PH dari 2018 hingga 2020.

Hari ini, seramai 27 timbalan menteri mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara di Kuala Lumpur.

Kesemua timbalan menteri itu melafazkan ikrar sumpah jawatan dan taat setia sebelum menandatangani dokumen rasmi pelantikan dengan disaksikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan isteri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut hadir menyaksikan majlis Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia Serta Sumpah Simpan Rahsia yang bermula 3 petang tadi.