Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

'Keputusan mahkamah isu kunci tayar di petak parkir beri kesan pada PBT lain'

Keputusan Mahkamah Rayuan bahawa undang-undang kunci tayar di petak parkir yang dilaksanakan Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) tidak sah akan memberi kesan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara, kata pakar undang-undang.

Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Dr Noraziah Abu Bakar berkata ini kerana Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), yang dibangkitkan dalam keputusan itu, digunakan di seluruh negara.

“Sebab Akta Undang-Undang Pengangkutan terpakai untuk seluruh Malaysia, tapi kes demi kes lah, tengok peraturan yang bertentang, bercanggah tu nama peraturan tu lain lah. Tapi berdasarkan undang-undang kecil yang berbeza di setiap PBT.

"Bila kita rujuk pada Seksyen 48(2) secara spesifik, dalam Akta 333 tu dia kata tindakan mengunci tayar ini hanyalah boleh digunakan sekiranya kenderaan yang parkir itu akan mendatangkan bahaya ataupun menghalang atau menyebabkan kesusahan pengguna jalan raya lain,” jelas pensyarah undang-undang itu kepada Malaysiakini.

Dia turut menyokong tindakan Mahkamah Rayuan yang tidak mengesahkan undang-undang kunci tayar kereta di dalam petak parkir.

“Jadi saya rasa keputusan ini amat baiklah, sekurang-kurangnya memberi pengajaran kepada PBT untuk tidak senang-senangnya mengenakan bayaran yang tinggi akibat daripada mengunci tayar tersebut," katanya.

Tambahnya lagi, tindakan yang dilakukan oleh MPKB-BRI itu adalah bertentangan dengan undang-undang, malah seharusnya tidak menyulitkan orang ramai.

“Peraturan 17 Perintah Pengangkutan Jalan (LKB) (MPKB) 2000 bercanggah dengan Seksyen 72(7) yang hanya membenarkan denda tidak lebih dari RM300 sahaja.

“Tugas PBT ni adalah untuk mengawasi, untuk memastikan dia tidak menyusahkan orang ramai.

“Kalau kita tengok Akta Kerajaan Tempatan tu, tengok dia punya kuasa bukannya untuk menyusahkan orang ramai sebenarnya. Dia membantu untuk menyelenggara dengan baik sesuatu kawasan,” jelasnya lagi.

Mahkamah Rayuan sebelum ini secara sebulat suara memutuskan undang-undang kunci tayar di petak parkir oleh MPKB-BRI adalah tidak sah.

Susulan itu MPKB-BRI berkata mereka akur dan menghormati keputusan Mahkamah Rayuan dengan menangguhkan tindakan kunci tayar dalam petak parkir kenderaan.