Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Tiada perkembangan baru siasatan dakwaan seleweng proses ambil pekerja asing

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail hari ini berkata dia masih belum diberi taklimat mengenai perkembangan siasatan SPRM berhubung dakwaan penyelewengan dalam proses pengambilan pekerja asing.

"Tiada update," kata Saifuddin Nasution ketika ditanya mengenai perkara itu semasa sidang media di ibu pejabat Jabatan Imigresen di Putrajaya hari ini selepas taklimat daripada ketua pengarah Khairul Dzaimee Daud.

Pada Julai, Malaysiakini melaporkan bahawa berdasarkan laporan yang dibuat oleh Pemuda PKR Pulau Pinang, SPRM telah memulakan siasatan terhadap dakwaan penyelewengan dalam pemilihan 25 agensi pengambilan pekerja asing Bangladesh yang diberi kuasa oleh Malaysia.

Malaysiakini pada ketika itu melaporkan bahawa siasatan SPRM akan memberi tumpuan kepada Kementerian Sumber Manusia serta peranan Kementerian Dalam Negeri dalam menguruskan pengambilan pekerja asing bukan sahaja dari Bangladesh tetapi juga 12 negara sumber lain.

Di bawah pentadbiran Ismail Sabri Yaakob sebelum ini, Malaysia telah membuka semula pasaran buruh dengan Bangladesh dan Indonesia melalui perjanjian dua hala baru serta memudahkan penyertaan baru dari 12 negara sumber lain selepas menarik balik sekatan Covid-19.

Bagaimanapun, pelbagai industri terus berdepan masalah kekurangan buruh yang kritikal, termasuk industri ladang getah dan kelapa sawit yang dilaporkan mengalami kekurangan 200,000 pekerja asing.

Secara keseluruhan, Saifuddin berkata Jabatan Imigresen telah meluluskan 374,000 daripada 404,000 permohonan Visa dengan Rujukan yang diterima tahun ini sehingga 4 Dis daripada majikan yang ingin mengambil pekerja asing.

“Baki permohonan yang sedang diproses adalah kira-kira 30,000.

“Jika kita lihat angka ini, komitmen kita (untuk kelulusan) yang kita rasa munasabah adalah antara tujuh hingga 14 hari,” katanya.

Daripada jumlah yang diluluskan, Saifuddin berkata hanya 68 peratus daripada pekerja, atau lebih 250,000, telah dibawa masuk bekerja.

Dia menambah bahawa majikan yang masih belum membawa masuk pekerja mereka berdepan, antara lain, pertimbangan kos di Malaysia dan negara sumber yang berada di luar kawalan kerajaan.

Khususnya dari Bangladesh, pentadbiran terdahulu pada September telah meluluskan pengaturan kerajaan kepada kerajaan sekali sahaja untuk pengambilan segera 10,000 pekerja Bangladesh ke Malaysia.

Bagaimanapun, hanya kumpulan pertama 30 pekerja telah tiba setakat 30 Nov.

Kelulusan dan ketibaan baru itu adalah tambahan kepada 1.4 juta pekerja asing sedia ada di negara ini sehingga 30 Nov.