Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Seni budaya pindah kementerian, bukan bawah komunikasi - Fahmi

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil mengesahkan sektor seni dan budaya akan berpindah ke kementerian lain, dan menteri masing-masing akan membuat pengumuman lewat hari ini.

“Mesyuarat kabinet hari ini memutuskan bahawa aspek seni dan budaya...tidak akan berada di bawah kementerian ini (kementerian Komunikasi dan Digital).

“Jadi saya serahkan kepada menteri masing-masing untuk membuat pengumuman,” kata Fahmi dalam sidang media pasca kabinet di Putrajaya hari ini.

Fahmi juga ditanya jika sektor seni dan budaya tidak lagi bersama Kementerian Pelancongan.

Gambar fail, Nacy Shukri sewaktu menerajui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

"Ya, menteri masing-masing akan membuat pengumuman hari ini," katanya.

Apabila Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan barisan kabinetnya pada minggu lalu, sektor seni dan budaya seolah dipinggirkan.

Nama Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan ditukar kepada Kementerian Pelancongan sehingga mencetuskan kekecohan dalam industri budaya dan hiburan.

Terdapat juga desas-desur sektor seni dan budaya mungkin diambil alih oleh kementerian Fahmi kerana penglibatannya dalam bidang seni pada usia remaja.

Anggota komuniti seni dan budaya Malaysia telah menggesa kerajaan untuk mengembalikan semula Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, yang dipisahkan daripada Kementerian Pelancongan sejak 2018.

Ini petanda jelas bahawa sektor seni dan budaya telah dipisahkan daripada Kementerian Pelancongan.

Sebelum 1987, sektor kebudayaan merupakan portfolio di bawah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Walau bagaimanapun, ia telah dipisahkan daripada belia dan sukan pada tahun 1987, dan digabungkan dengan Kementerian Pelancongan.

Seni telah ditambah pada tahun 1992, dan kementerian itu dinamakan semula sebagai Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan.

Pada tahun 2004, seni dan budaya telah diasingkan daripada pelancongan dan ia kemudiannya dikenali sebagai Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan.

Beberapa tahun kemudian, warisan kemudiannya digugurkan daripada portfolio kementerian itu.