Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Permohonan polis, k'jaan batal saman ibu model Belanda ditolak

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan kerajaan dan polis untuk mengetepikan saman berhubung kematian model Belanda, Ivana Smit pada 2017.

Oleh itu tindakan undang-undang yang difailkan keluarga mendiang itu akan melalui perbicaraan penuh pada tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Saman tersebut berhubung dakwaan kegagalan dan kecuaian dalam siasatan bagi menentukan punca kematian wanita berusia 18 tahun itu.

Pihak berkuasa kemudian memohon agar saman itu diketepikan atas dasar ia sesuatu yang semberono dan menyalahgunakan proses mahkamah.

Pada 7 Disember 2017, mayat Smit ditemui di balkoni sebuah unit tingkat enam CapSquare Residence di Kuala Lumpur, 14 tingkat di bawah unit pasangan Alexander William Johnson dan Lunara Almazkyzy di tingkat 20. Pasangan itu meninggalkan Malaysia pada awal 2018.

Ketika prosiding hari ini, pesuruhjaya kehakiman Roz Mawar Rozain memutuskan kes itu tidak sesuai untuk diketepikan memandangkan ada hal serius yang perlu disuarakan menerusi perbicaraan penuh.

Dia juga berkata tindakan undang-undang keluarga bukan semberono mahupun salah guna proses mahkamah kerana ia membangkitkan hal-hal yang membolehkan tindakan diambil (cause of action) terhadap pihak berkuasa, yang memerlukan perbicaraan penuh untuk kedua-dua pihak berhujah.

"Mahkamah memutuskan tidak sesuai untuk mengetepikan (saman).

"Plaintif (ibu Smit, Christina Carolina Gerarda Johanna Verstappen) secara panjang lebar mengekstrapolasi cause of action terhadap (empat) defendan yang mempertahankan kedudukan mereka di bawah Akta Polis 1967," katanya.

Mengambil kira fakta dan keadaan, katanya lagi, saman itu perlu dibicarakan dan bukti-bukti perlu diteliti ketika perbicaraan.

Empat defendan adalah menteri dalam negeri (tidak dinamakan), ketua polis negara (tidak dinamakan), pegawai siasatan Faizal Abdullah dan kerajaan persekutuan.

Ros juga mengarahkan defendan untuk membayar RM5,000 sebagai kos kepada keluarga.

[Baca berita asal]