Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

ULASAN | Isu pengiktirafan UEC harus diberikan titik noktah

Baru-baru ini, Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) mengeluarkan kenyataan menggesa kerajaan baru mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan menginstitusikan peruntukan kepada sekolah menengah persendirian Cina (SMPC) secepat mungkin.

Ini bukanlah kali pertama Dong Zong memberi desakan supaya UEC diiktiraf kerajaan. Perjuangan Dong Zong ini berlangsung berdekad lamanya, sehingga isu ini menjadi polemik yang tidak berkesudahan.

Pada hemat saya, sudah sampai masanya polemik berhubung dengan isu pengiktirafan UEC ini dimuktamadkan serta diberikan satu titik noktah.

Apakah UEC?

Asasnya, UEC merupakan suatu peperiksaan yang dijalankan di sekolah-sekolah menengah persendirian Cina. Suatu masa dahulu, tawaran perjanjian dibuka melalui Ordinan Pelajaran 1957 yang memberikan pilihan kepada 134 buah SMPC sama ada ingin bersama-sama dalam sistem sekolah yang diiktiraf kerajaan, atau sebaliknya.

Selepas beberapa perbincangan, 74 buah sekolah pada ketika itu mengambil keputusan untuk bersama dalam sistem, sekali gus bersetuju untuk menyelaraskan operasi sekolah-sekolah tersebut.

Hal ini termasuklah memastikan sistem sekolah-sekolah tersebut selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan, iaitu menggunakan bahasa rasmi persekutuan sebagai bahasa pengantar dan pembelajaran, menjalani peperiksaan yang sama seperti sekolah aliran kebangsaan – Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia, dan menggunakan kurikulum kebangsaan.

Sehubungan dengan itu, lahirlah sekolah yang kini digelar sebagai Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) yang bersetuju untuk berganding bahu dengan kerajaan, seterusnya menerapkan suatu sistem yang berpaksikan kepada Dasar Pendidikan Kebangsaan.  

Sehingga kini, SMJK adalah diiktiraf oleh kerajaan dan dikategorikan sebagai aliran arus perdana. Justeru, lepasan SMJK adalah layak untuk memasuki Institusi Pendidikan Tinggi Awam (Ipta) serta layak untuk menyertai sektor perkhidmatan awam.Secara dasar dan sejarahnya, perjanjian tersebut jelas telah memberikan peluang yang seadilnya kepada semua pihak pada ketika itu.

Oleh yang demikian, demi berlaku adil, saya mengambil sikap yang jelas bahawa sepatutnya tidak timbul lagi isu sama ada perlu atau tidak untuk mengiktiraf UEC yang telah dilaksanakan bermula pada tahun 1975.

Secara faktanya, UEC lahir atas keputusan SMPC sendiri yang memilih untuk berada di luar sistem pendidikan kebangsaan. Dan ini adalah titik tolak kepada tuntutan 60 buah SMPC yang secara kolektif tidak bersama dengan sistem pendidikan kebangsaan sehingga hari ini.

Maka, melalui Dong Zong, UEC ini diwujudkan untuk menyeragamkan pentaksiran pencapaian akademik bagi SMPC.

Adakah UEC wajar diiktiraf?

Secara peribadi, saya mengambil pendirian yang jelas bahawa dalam memutuskan isu berkenaan pengiktirafan UEC, kerajaan melalui menteri pendidikan yang baru dilantik iaitu Fadhlina Sidek harus mengambil sikap yang sangat berhati-hati.

Malah, sebagai menteri pendidikan yang mempunyai latar serta pengalaman undang-undang, saya amat yakin bahawa saudari Fadhlina memahami bahawa isu ini amat berkait dengan asas Perlembagaan Persekutuan, Akta Pendidikan 1996, Dasar Pendidikan Kebangsaan, Dasar Bahasa Kebangsaan dan isu keadilan.

Pertama sekali, saya melihat bahawa UEC jelas bercanggah dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Dasar Bahasa Kebangsaan yang selama ini dibentuk bagi memperteguh ikatan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia. Jika diteliti secara tuntas, adalah terang lagi bersuluh bahawa pengajaran, kurikulum dan peperiksaan UEC yang ditadbir oleh Dong Zong jelas berada di luar pemantauan serta kelolaan pihak kerajaan.

Tambahan pula, kaedah dan proses pembelajaran yang dijalankan oleh UEC tanpa meletakkan bahasa kebangsaan sebagai medium utama juga nyata tidak selari dengan semangat Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pendidikan 1996. Oleh itu, dalam hal ini saya ingin mengambil sikap yang jelas dan tidak apologetik bahawa pembawakan kurikulum UEC setidak-tidaknya mampu merencatkan proses pembentukan budaya, sejarah dan identiti kebangsaan.

Hal ini dapat dibezakan dengan peperiksaan awam lain seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) kendalian Majlis Peperiksaan Malaysia. Berbanding UEC, sistem-sistem ini diwajibkan untuk patuh dengan kehendak Dasar Pendidikan Kebangsaan. Demikian, dalam nada yang sama, saya berpendapat bahawa kerajaan hendaklah bertindak seperti menarik rambut dalam tepung dalam menangani isu ini.  

Kedua, saya melihat bahawa seandainya UEC diiktiraf oleh kerajaan, ia bakal menyebabkan ketidakadilan kepada seluruh rakyat Malaysia termasuk kaum cina sendiri. Hakikatnya, terdapat sebilangan besar rakyat Malaysia pelbagai kaum yang selama ini amat komited dengan sistem pendidikan kebangsaan dengan menghantar anak-anak mereka ke dalam sistem aliran arus perdana.

Saya sendiri mempunyai ramai sahabat bukan Melayu yang selama ini teguh bersama dengan sistem pendidikan bawah payung Dasar Pendidikan Kebangsaan demi menyahut seruan perpaduan. Justeru, persoalan yang kini timbul - adakah keadilan buat mereka harus dikorbankan semata-mata untuk memberi pengiktirafan kepada UEC yang selama ini memilih untuk tidak bersama Dasar Pendidikan Kebangsaan?

Dalam negara ini, perlembagaan dan undang-undang tidak pernah menghalang mana-mana pihak untuk mempelajari atau menggunakan sebarang bahasa termasuk bahasa ibunda. Namun begitu, dalam isu UEC, penelitian yang tuntas dan penuh hati-hati adalah perlu bagi mengelakkan sebarang perlanggaran asas negara bagi menjamin perpaduan.

Akhirulkalam, besar harapan saya agar kabinet yang telah dibentuk dapat fokus kepada isu-isu penting negara termasuk reformasi ke atas sistem pendidikan terutamanya berkenaan dengan isu literasi dan keciciran pendidikan.

Saya juga amat berharap agar isu berhubung dengan pengiktirafan UEC ini dapat dipertimbangkan semula secara tuntas, lantas diberikan satu titik noktah. Kita harus sedar bahawa dasar pendidikan yang telah dibentuk dan dipegang selama ini bagi tujuan perpaduan semua kaum di Malaysia adalah tidak wajar dikorbankan hanya kerana suatu perubahan, yang mungkin akan membinasakan.


KHAIRUL NAIM RAFIDI merupakan seorang peguam yang juga ketua biro undang-undang Pemuda PKR (AMK) Selangor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.