Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

ULASAN | ‘Political Islam’ atau politikkan Islam?

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi, yang juga anak Presiden PAS Hadi Awang, menyatakan "politik Islam" makin popular.

Mengikut definisi kamus, politik bermakna "activities or art associated with governance" atau politik adalah aktiviti  atau seni mentadbir kerajaan.

Kalau dilihat hari ini, cara politik PAS dan Bersatu melalui Perikatan Nasional (PN),  tidak menekankan sangat seni pentadbiran kerajaan, sebaliknya lebih ke arah seni berpuak-puak, dipecah mengikut agama dan bangsa dan menimbulkan permusuhan antara rakyat Malaysia.

Sepatutnya "political Islam" mencerminkan segala yang sihat, berhemah, dan bijaksana dalam meyakinkan rakyat bahawa cara Islam mentadbir adalah paling baik, dan bukannya budaya mencetuskan kebencian dalam masyarakat serta menakutkan rakyat pada soal perkara yang tidak terbukti pun demi sokongan semata mata.

Di manakah lunas pentadbiran yang baik jika isu yang diutarakan PAS dan PN adalah pada soal ancaman komunis, rusuhan berdarah 13 Mei, LGBT dan tuduhan seteru politik golongan tidak beriman. Lebih malang, tuduhan berat ini dibuat tanpa ada kemudiannya laporan polis, tanpa  hujah bernas tindakan undang undang tetapi hanya tuduhan melulu tanpa bukti yang menjurus kepada perpecahan masyarakat.

Hakikatnya ini bukan politik Islam yang sihat dan rahmah, tetapi merupakan politik anarki mempolitikkan Islam yang membawa perpecahan dalam kalangan rakyat berbilang kaum dalam negara. 

Tergamakkah kita memanggil seteru politik, walaupun sesama Islam sebagai tidak beriman, hingga pernah dahulu menuduh tercetus peristiwa kafir-mengkafir kerana tindakan yang serupa?

Amanat Haji Hadi di Banggol Peradong tahun 1981 mengkafir sesama Islam diisytiharkan Majlis Fatwa Kebangsaan sebagai haram. Pengerusi Perikatan Nasional, Muhyiddin sendiri pernah memanggil PAS - parti ajaran sesat.

Jika pembawa politik Islam ini begitu hebat, Abdul Hadi sepatutnya dilantik ketua pembangkang di parlimen oleh PN, seperti cadangan ketua Pemuda Amanah Terengganu. Ttetapi ahli PN sendiri sedar yang dibawa itu bukan politik Islam tetapi politik meraih sokongan serta populariti, menakut-nakutkan orang Melayu-Islam dengan ancaman yang tidak benar demi mengejar kuasa.

Pelantikan presiden PAS sebagai duta khas ke Timur Tengah oleh Muhyiddin adalah langkah politik mencari sokongan semata-mata, walaupun duta khas itu tidak boleh dan tidak pernah ke mana-mana negara Islam atau Timur Tengah pun kerana tiada penerimaan baik jenis "politik Islam" PAS.

Tak kedengaran jemputan pada Hadi

Jika ‘political Islam' PAS hebat dan berkesan,  tidak juga kedengaran jemputan dari mana-mana negara Timur Tengah kepada duta khas, sama ada untuk memberi kuliah seperti diterima Sheikh Dr Yusof Qardhawi dan Rashid Ganouchi ataupun sebagai tanda hubungan baik kedua negara. 

PN dan Muhyiddin  perlu menjawab kepada rakyat,  kenapakah presiden PAS tidak pernah menjejakkan kaki ke negara Islam lain sebagai duta khas seperti sepatutnya, jika PAS yang dikatakan mengamalkan political Islam ini begitu berjaya, supaya boleh dijadikan contoh oleh negara Islam lain?

Ini adalah peluang kedua untuk membuktikan bentuk political Islam yang dicanang kehebatannya oleh Khalil Hadi, dengan PN melantik presiden PAS sebagai ketua pembangkang  yang berkebolehan menjadi contoh yang baik.

Hakikat sebenar, political Islam yang dicanang hanyalah topeng. Yang dibawa sebenarnya adalah politik kebencian, permusuhan, kafir-mengkafir, menerakakan lawan, dan modal kafir harbi yang menjerumuskan pengikutnya kepada fahaman ekstrem yang mahu menyembelih musuh. 

Baca: 'Sembelih kafir harbi' - Tidak, tidak, tidak, kata pemimpin PN

Apa yang dimaksudkan oleh Khalil bukanlah politik Islam, tetapi mempolitikkan Islam, memperalatkan agama untuk menimbulkan ketakutan dan kebencian sesama rakyat demi mendapat pengaruh politik untuk berkuasa.

Kalau betullah dakwaan Khalil bahawa PAS membawa politik Islam, buktikan melalui peluang kedua, lantik presiden PAS sebagai ketua pembangkang dan gunakan ruang yang ada untuk menunjukkan political Islam yang sebenar, dan bukan mempolitikkan Islam. 

Rakyat ingin melihat kehebatan political Islam yang dibawa oleh PAS melalui hujah dua hala dan fakta di parlimen dan bukan dengan hasutan dan tuduhan tanpa fakta nyata, melalui soal jawab yang sihat dan bernas di parlimen.

Rakyat juga ingin mendengar hujah kenapa RUU355, pembasmian judi, pembelaan terhadap kematian Muhammad Adib Mohd Kassim dan pakaian pramugari yang masih terdedah aurat seperti dahulu setelah hampir tiga tahun PAS memerintah. 

Parlimen bukan seperti  kuliah satu hala tanpa peluang rakyat berhujah balas seperti di Rusila dan tempat tempat sewaktu dengannya.

Kami menunggu penuh harapan dan debaran ketua pembangkang baru dari PAS dilantik .

Kita ingin tahu yang akan dibawa oleh ketua pembangkang dari PAS, adakah "political Islam" atau "mempolitikkan Islam" demi kerakusan kuasa?


RAJA KAMARUL BAHRIN SHAH ialah Pengerusi Pakatan Harapan Terengganu

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.