Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Gobind tolak jawatan menteri untuk tumpu tugas sebagai MP

Ahli Parlimen Damansara Gobind Singh Deo menjelaskan dia menerima tawaran untuk menganggotai kabinet kerajaan baru tetapi menolaknya, atas sebab ingin memberi tumpuan terhadap tugasnya sebagai ahli Dewan Rakyat.

Gobind menjawab soalan mengenai ketiadaan namanya dalam senarai kabinet yang diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, menerusi kenyataan hari ini.

Dia mengesahkan Anwar memang menawarkannya untuk menyertai kabinet.

"Namun, setelah mempertimbangkannya, saya memberitahunya yang saya tak dapat berbuat demikian dan saya akan memberi tumpuan kepada peranan sebagai ahli parlimen, dan membantu kerajaan dengan apa saja cara yang saya boleh lakukan.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepadanya kerana menawarkan saya untuk menjadi sebahagian kabinetnya. Sekali lagi saya menyatakan saya sepenuhnya yakin terhadap kepimpinannya dan dia akan berjaya membawa Malaysia ke tahap lebih tinggi," kata Gobind.


Pengumuman kabinet: Anwar menteri kewangan, Zahid dan Fadillah TPM


Dia menjadi menteri multimeda dan komunikasi ketika pentadbiran PH pada 2018.

Ketika dihubungi, Gobind menyangkal keengganannya untuk menyertai kabinet ada kaitan dengan pelantikan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sebagai timbalan perdana menteri.

Ketika ditanya berkenaan perkara itu, Gobind menjawab: "Tidak benar, ada sebab lain kepada keputusan ini dibuat. Setakat itu jawapan saya (I will leave it at that)."