Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

ULASAN | Politik, kuasa dan seni serba mungkin

Saya pernah menulis tentang politik sebagai sains dan seni mengolah persamaan dan perbezaan orang ramai. Ia bukan hanya berlaku semasa pilihan raya, tetapi sebenarnya pada setiap kali pemimpin membuat keputusan.

Cuma, dalam demokrasi, secara de jure, seseorang itu menjadi pemimpin melalui agregat undi dan kerusi dalam pilihan raya.

Justeru, sesebuah kepimpinan dan kerajaan itu dinilai dari satu penggal ke satu penggal dengan cara ini.

Namun, kita telah mengalami kejutan dalam penggal lalu, bila berlaku peralihan kuasa sebanyak tiga kali dalam bentuk berbeza.

Pertama, melalui proses pilihan raya. PH mendapat cukup majoriti yang diperlukan untuk membentuk kerajaan.

Kedua, PH dijatuhkan oleh pengkhianatan sejumlah ahli Parlimen.

Ketiga, PM daripada kumpulan pengkhianat ini dijatuhkan untuk menaikkan PM baru daripada parti minoriti.

Maka, tema kestabilan segera mengambil tempat dalam wacana politik Malaysia. Bagi banyak pihak, kita tidak boleh lagi berterusan begini. Tidak ramai melihatnya sebagai sesuatu yang positif dan peluang untuk menambah baik sistem.

Positif kerana apa yang berlaku sebenarnya menyerlahkan ciri penting demokrasi - kemajmukan (pluraliti).

Peluang yang dimaksudkan ialah peralihan daripada sistem first past the post (FPTP - pemenang undi terbanyak) kepada satu sistem lain yang lebih mantap misalnya mixed proportional representative (campuran perwakilan berkadar) secara hibrid.

Kenapa ini kurang menonjol? Pada hemat saya kerana kita terlalu biasa dengan sistem FPTP - yang menang ‘dapat semua’, yang kalah ‘hilang semua’.

Ia dijelmakan dalam banyak cara kita berpolitik. Hampir tidak ada ihsan. Lihat saja cara kita ‘membunuh’ lawan politik masing-masing. Kuasa menjadi puncak segalanya.

Tujuan kuasa bagi menegakkan keadilan dan kebebasan, menjaga perpaduan dan persaudaraan; memakmurkan muka bumi dan pelbagai tujuan murni lain mudah larut, atau sebenarnya tidak ada lagi dalam pertimbangan!

Apa pun kuasa dulu! Yang lain akan datang kemudian. Lagipun usaha mencapai semua tujuan murni tadi bukan boleh dilakukan sekelip mata, malah ianya usaha berterusan. Jika dicapaipun, ia masih perlu dipelihara dan ditingkatkan. Munasabah.

Maka, kuasa bukanlah hanya tentang kuasa semata. Nampak istimewa, tetapi ia datang dengan pertanggungjawaban. Ada misi yang perlu dicapai dan untuk memberi fokus kepada misi, kestabilan diperlukan.

Kita pernah melihat pemimpin berulang-alik berkunjung ke rumah perdana menteri tatkala ketidakstabilan berlaku di tengah-tengah Covid-19. Bukan kerana tidak ada perkara penting dan ancaman Covid-19 itu bahaya.

Tetapi kerana sistem telah menetapkan bahawa mandat kuasa politik yang sah ada kaedahnya. Ia selalunya tidak ideal, tetapi praktikal pada masanya.

Perubahan perlukan masa dan kestabilan adalah cara ‘membeli masa’ ini.

Kita pernah mendengar istilah #KerajaanGagal sebelum ini. Tetapi kumpulan yang sama nampaknya mendapat sokongan besar kini, terlepas apa pun sebab dan faktor yang boleh kita kemukakan.

Kita boleh katakan ada pemimpin yang bagus dan layak daripada pelbagai parti telah dikalahkan oleh gelombang tidak rasional.

Apapun sedarlah, pada akhir penggal nanti rakyat akan menilai sama ada kuasa yang dipinjamkan telah digunakan sebaiknya atau tidak. Merekalah yang berhak pada ketika itu.

Suara rakyat, suara keramat.


AMIN AHMAD ialah mantan ahli Parlimen Kangar.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.