Jangan salah guna nama Yayasan Kanser Tunku Laksamana - Permaisuri Johor
Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah bertitah menyeru agar tiada pihak yang menggunakan logo atau nama Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor (YKTLJ) untuk kepentingan komersial.
Menerusi hantaran di Facebook The Royal Johor, Raja Zarith Sofiah bertitah berharap dapat menjalankan tugas sebagai pengerusi YKTLJ dalam usaha membantu rakyat Johor yang memerlukan rawatan kanser.
“Sebagai bonda kepada Almarhum Tunku Laksamana Johor (Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim), saya berharap saya dapat menjalankan tugas saya sebagai pengerusi yayasan ini.
“Almarhum dan kami sekeluarga berniat menolong rakyat Johor yang memerlukan rawatan kanser.
“Saya akan cuba menjaga nama baiknya dan tidak mahu mana-mana pihak menggunakan logo atau nama yayasan ini semata-mata untuk kejayaan komersial perniagaan mereka,” titah baginda ketika berangkat ke Majlis Makan Malam Amal Rays of Light di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di Johor Bahru malam tadi.
Hantaran tersebut turut memaklumkan majlis berkenaan berjaya mengumpul dana sebanyak RM1.002 juta yang akan digunakan bagi tujuan aktiviti YKTLJ.
Titah Permaisuri Johor, sepanjang enam tahun sejak penubuhannya sehingga Oktober tahun ini, YKTLJ telah membantu 3,078 pejuang kanser dengan nilai dana bantuan dan rawatan berjumlah RM10.2 juta.
“Selain itu, yayasan ini turut mendorong usaha menambah baik kemudahan beberapa hospital di Johor bagi meningkatkan keselesaan pejuang-pejuang kanser ketika menjalani proses rawatan.
“Sebanyak RM1.78 juta telah digunakan untuk menambah baik kemudahan pejuang kanser dalam negeri Johor ini dan memanfaatkan lebih 100,000 orang,” titah Raja Zarith Sofiah.
Baginda menzahirkan keyakinan bahawa usaha dan inisiatif bantuan kepada pejuang kanser akan diperluaskan seiring peredaran zaman, serta berharap sokongan semua pihak kepada YKTLJ akan berterusan, malah bertambah kukuh.
Almarhum Tunku Abdul Jalil, 25, mangkat pada 5 Dis 2015 akibat kanser hati.
Pada 6 Ogos 2016, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan melancarkan YKTLJ bagi membantu pesakit kanser di negeri ini.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai