Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Sumber: BN umum beri laluan pada PH di Padang Serai malam ini

Seorang lagi sumber memaklumkan BN akan memberi laluan kepada PH di PRK Padang Serai.

Sumber dari BN pusat ini berjata, Pengerusi BN Kedah Jamil Khir bin Hj Baharom dijangka akan membuat pengumuman rasmi berkenaannya dalam satu ceramah khas malam ini.

"Keputusan untuk memberi laluan kepada PH telah dibuat di peringkat negeri.

"Pengumuman akan dibuat malam ini di Padang Serai oleh Jamil," kata sumber itu kepada Malaysiakini.

Sebelum ini spekulasi bertiup kencang mengenai kedudukan C Sivarraajh yang dicalonkan BN untuk kerusi Parlimen Padang Serai, terutama apabila PH memberi laluan kepada BN di satu lagi PRK, iaitu di DUN Tioman.

Terdahulu, dalam laporan Malaysiakini yang turut memetik sumber, Pengerusi PH Anwar Ibrahim dan Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi didakwa sudah mencapai kata sepakat untuk mencari kompromi bagi kerusi Parlimen Padang Serai.

Sumber berkata lagi, Sivarraajh telah pun mengurangkan program kempennya sejak dua hari lalu.

"Pemimpin BN yang berada di Padang Serai telah pun diminta menghentikan kempen. Sebaliknya, malam ini akan ada arahan baru untuk turun berkempen kepada calon PH," katanya lagi.

Sebagai pertukaran, sumber berkata Sivarraajh akan dilantik sebagai senator.

"Ya, dia ditawarkan senator untuk undur diri. Kemungkinan dia angkat sumpah sebagai senator pada sesi pertama persidangan Dewan Negara," katanya lagi.

Selain Jamil Khir, pemimpin lain yang turut dijangka hadir dalam ceramah khas malam ini adalah Presiden Amanah Mohamad Sabu, Pengerusi PH Kedah Mahfuz Omar dan calon PH Mohamad Sofee Razak.

Pilihan raya di Padang Serai ditangguhkan ekoran kematian penyandang yang juga calon PH, M Karupaiya, 69, akibat serangan jantung dan komplikasi kesihatan pada 16 November, iaitu tiga hari sebelum hari mengundi.

Selain Sivarraajh dan Sofee Razak, calon lain yang turut bertanding adalah Azman Nasrudin (PN), Hamzah Abd Rahman (Pejuang), Mohd Bakhri Hashim (Warisan) dan calon Bebas Sreanandha Rao.