Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Azman: Kalau calon BN, PH tarik diri lagi elok

Calon PN Azman Nasrudin secara sinis menyarankan agar lawannya daripada PH dan BN masing-masing menarik diri daripada bertanding di Padang Serai susulan kedua-dua parti itu tidak sehaluan walaupun bekerjasama membentuk kerajaan persekutuan.

Menurutnya, PH dan BN sudah berada dalam satu kerajaan tetapi saling bertentangan dari segi prinsip perjuangan masing-masing.

"Kepada pengundi-pengundi Padang Serai sekarang ini PH dan BN sudah berada dalam satu kerajaan.

"Jadi mana-mana pihak nak tarik diri, kalau kedua-duanya tarik diri lagi eloklah. Sebab kedua-duanya bertentangan prinsip perjuangan.

Calon PN Azman Nasrudin.

"PH begini, BN begini. Tetapi kita PN kekal dengan prinsip perjuangan kita dan saya yakin pengundi di Padang Serai sudah pun tahu mana parti yang boleh membela mereka nanti," katanya pada sidang media di Lunas, Kulim, hari ini.

Azman yang juga anggota dewan undangan negeri (Adun) Lunas berkata demikian ketika ditanya mengenai kelebihan kepadanya di sebalik pertembungan antara calon BN C Sivarraajh dan calon PH Mohamad Sofee Razak.

Sementara itu, Azman turut menempelak kempen PH yang masih melabelkan dirinya sebagai pengkhianat parti.

Azman sebelum ini merupakan wakil rakyat PKR dan keluar parti itu pada Mei 2020 sekaligus menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang memerintah Kedah sejak 2018.

Calon BN C Sivarraajh.

"Nampaknya lawan saya kehabisan modal, ketandusan isu, isu itu sudah berlalu, berlarutan lama dan sudah selesai. Hari ini saya bertanding atas tiket PN.

"Saya ambil keputusan untuk bersama PN, jadi nak berlawan gunalah isu yang baik sikit, yang diterima pengundi.

"Saya yakin rakyat di bawah khususnya pengundi saya pada 2018 sedar akan keperluan memilih parti yang prihatin, bersih, stabil dan menjaga keharmonian rakyat berbilang kaum," kata Azman.

Terdahulu, Mohamad Sofee (gambar, bawah) melontarkan harapan agar BN menarik diri daripada bertanding dan memberi laluan kepadanya dalam usaha mempertahankan kerusi PH di parlimen itu.

Bagaimanapun, Sivarraajh mendakwa dia lebih berhak diberi laluan selepas bekerja di kawasan itu sejak tiga tahun lalu dan lebih berpeluang untuk menang.

Isu pertembungan antara PH dan BN itu hangat diperkatakan selepas PH menarik penyertaan calonnya bagi memberi laluan kepada calon BN bagi pilihan raya DUN Tioman.