Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pengundi Tioman perlu hantar isyarat pada k'jaan Pahang - Tuan Ibrahim

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man meminta pengundi bagi pilihan raya kecil (PRK) Tioman memberi isyarat jelas kepada kerajaan Pahang pada hari pengundian 7 Dis ini.

Katanya, walaupun keputusan itu tidak mengubah struktur pentadbiran kerajaan Pahang ketika ini, ia akan menunjukkan hala tuju politik di negeri berkenaan.

“Kemenangan di Tioman tidak akan mengubah apa-apa dari segi struktur pentadbiran kerajaan Pahang, cuma dari segi isyarat, pentinglah.

“DUN (dewan undangan negeri) Tioman ini jadi isyarat yang ditunggu tentang hala tuju politik di Pahang, ramai pengundi rasa kecewa dengan apa yang berlaku, tapi kita kena buktikan dalam peti undilah,” katanya ketika ditemui media selepas ceramah umum PRK Tioman di bandar Rompin, Pahang, semalam.

Dia turut menjelaskan Perikatan Nasional (PN) sudah cuba berunding secara berhemah dengan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail bagi membentuk kerajaan negeri selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15) lalu, namun BN memilih untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

“Kita dah adakan perbincangan dua, tiga kali dengan dia (Pengerusi BN Pahang Wan Rosdy Wan Ismail) dan kita pun dah buat tawaran yang saya fikir adillah dengan apa yang berlaku, tetapi keputusan dibuat, dia (Wan Rosdy) nak bersama PH, kami tak boleh buat apa-apalah,” katanya lagi.

Tiga kali rundingan

Terdahulu, ketika berucap dalam ceramah umum itu, Tuan Ibrahim memberitahu rundingan antara dia dan Wan Rosdy berlaku sebanyak tiga kali sebelum BN Pahang memutuskan untuk bekerjasama dengan PH.

“Tiga kali saya jumpa dia, (Wan Rosdy) jumpa bincang, muafakat, bagi PAS, bagi PN, kami sedia duduk bersama, kita tadbir bersama kerajaan Pahang dan kita dapat majoriti yang kukuh.

“Dia (Wan Rosdy) kata PH ‘offer’ (tawar) dia (jawatan) menteri besar, saya kata, kami tak apa, saya bincang dengan tuan guru presiden PAS, dengan pengerusi PN (Muhyiddin Yassin), kalau BN nak kekal menteri besar pun kita bagi, walaupun kita ada 17 (kerusi DUN).

“(Jawatan) Exco kita bagi sama banyak, lima (PN) lima (BN), bahkan untuk jawatan Adun dilantik, di Pahang ada Adun lantikan lima orang, kita minta untuk PN tiga dan dua BN sebab dia dah pegang (jawatan) menteri besar,” katanya.

Dia berkata, Wan Rosdy bagaimanapun memaklumkan keputusan mesyuarat badan perhubungan Umno Pahang membuat keputusan untuk bergabung dengan PH.

“Bila dia cakap begitu, saya tengok dia (dan tanya), betul ke ni? Dia kata kami tak kisah sebab politik ini, lawan lagi bagus.

“Saya dok fikir pasal apa badan perhubungan Umno (Pahang) buat keputusan bergabung dengan PH tidak dengan PN.

“Saya tengok... rupanya sebahagian ahli mesyuarat itu yang baru kalah dengan calon PAS, sebab itu dia geram dengan PAS tak habis lagi,” katanya.

Tuan Ibrahim turut memaklumkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menasihatkan supaya PN dan BN Pahang boleh mencari jalan tengah dan memberi cadangan pembahagian jawatan menggunakan formula 4-4-2.

“PN dapat empat jawatan, untuk BN 4 (jawatan) dan dua PH, saya balik bincang, kita (PN) rasa tak ada masalah, kita boleh bentuk (kerajaan negeri) sebab kita menerajui.

“Tapi dia (Wan Rosdy) beritahu saya sebelum masuk jumpa (menghadap) Tuanku, kami (BN) setuju dengan syarat PN kita bagi satu kerusi (jawatan), PH dua kerusi (jawatan).

“Saya kata terima kasih banyaklah, saya maklumkan kepada Tuanku, keputusan telah dibuat oleh BN untuk bersama PH,” katanya.

Semalam, Tuan Ibrahim juga sudah menjelaskan punca kegagalan rundingan PN-BN di Pahang yang disiarkan Harakah.

Tuan Ibrahim berkata penjelasan itu dibuat bagi memperbetulkan persepsi dan khabar angin yang mendakwa punca utama kegagalan adalah kerana sikap tamak PAS meminta banyak jawatan.

“Saya nak jelaskan supaya kekeliruan yang kononnya PAS menuntut tujuh kerusi exco, PN menuntut itu ini, sebenarnya tak betul.

“Jadi dengan penjelasan ini saya yakin bahawa masyarakat mengetahui bagaimana proses perundingan tiga kali pertemuan dengan menteri besar bagaimana proses itu, tawaran-tawaran yang kita keluarkan pada dia untuk mewujudkan muafakat penyatuan ummah model negeri Pahang,” katanya.