Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PM: Lantikan kabinet bukan 'ganjaran' atas sokongan

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata sebarang pelantikan dalam kabinetnya yang akan datang tidak akan dibuat sebagai ganjaran terhadap pertukaran sokongan dalam membentuk kerajaan.

Anwar berkata ini selaras dengan hasratnya untuk mengurangkan saiz kabinet, tidak seperti pentadbiran terdahulu.

"Saya mahu mengecilkan saiz kabinet. Saya tidak mahu meneruskan cara boros menggaji atau melantik menteri sebagai ganjaran," kata Anwar semasa sidang media di Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya hari ini.

“(Sebelum ini) anda mempunyai 70 menteri (dan timbalan menteri) dengan duta khas.

"Saya mahu mereka menyokong saya berdasarkan dasar saya dan komitmen saya terhadap tadbir urus yang baik dan komitmen saya terhadap anti-rasuah dan memulihkan ekonomi," katanya.

Pentadbiran pimpinan BN sebelum ini di bawah teraju Ahli Parlimen Bera Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri menyaksikan pelantikan 31 menteri termasuk empat menteri kanan dan 38 timbalan menteri.

Ini tidak termasuk duta khas bertaraf menteri yang dilantik daripada kalangan presiden parti.

Selanjutnya, Anwar berkata perbincangan sedang berjalan dengan rakan Pakatan Harapan dalam kerajaan, termasuk BN, GPS, GRS, serta pertemuan dengan Presiden Warisan Shafie Apdal yang dirancang petang ini.