Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

ULASAN | Kebuntuan politik dan kerajaan perpaduan

ULASAN | Pada 24 Nov Anwar Ibrahim pun mengangkat sumpah sebagai perdana menteri yang ke-10 Malaysia. Pelantikan itu merupakan pengakhiran kepada kemelut politik yang melanda negara selama enam hari ekoran situasi “parlimen tergantung” selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Dalam PRU itu, gabungan politik yang mendapat kerusi parlimen terbanyak ialah Pakatan Harapan (PH) dengan 82 kerusi, diikuti Perikatan Nasional (PN) sebanyak 73 kerusi, BN sebanyak 30, Gabungan Parti Sarawak (GPS) mendapat 23, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memenangi enam, Warisan tiga, dan lain-lain empat.

Kesemua gabungan politik terbabit gagal memperoleh majoriti mudah 112 kerusi untuk membentuk kerajaan.

Setelah keputusan rasmi PRU ke-15 diketahui, Yang di-Pertuan Agong menitahkan supaya ketua-ketua parti politik dan ketua gabungan parti mencalonkan bakal perdana menteri dalam tempoh sehari.

Ia kemudian dilanjutkan kepada dua hari.

Dalam tempoh tersebut, berlaku perundingan dan tawar-menawar antara gabungan untuk membentuk kerajaan campuran.

Anwar dan Muhyiddin Yassin masing-masing selaku ketua gabungan PH dan PN mengumumkan bahawa mereka mempunyai majoriti yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Bagi membentuk kerajaan campuran, PH dan PN memerlukan sokongan BN. Namun BN saja tidak memadai buat PN kerana mereka masih memerlukan sokongan tambahan GPS dan GRS.

Menurut Muhyiddin 115 akuan bersumpah (SD) ahli parlimen termasuk 10 wakil BN diserahkan kepada setiausaha sulit kanan Agong. Namun, Dewan Tertinggi BN kemudian mengeluarkan kenyataan bahawa mereka tidak melaksanakan sebarang perundingan dengan PN mahupun GPS, serta tiada yang memberikan sokongan kepada Muhyiddin.

Di pihak Anwar pula, PH dilihat mendapat sokongan kepimpinan BN meskipun sebilangan ahli parlimen mereka berkeras menolak.

Menjelang tempoh masa yang ditetapkan oleh Agong, BN memutuskan untuk kekal bebas dan berfungsi sebagai pembangkang. Keputusan itu menyebabkan PH dan PN gagal mencapai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.

Buka tawaran sertai kerajaan

Susulan tiada mana-mana gabungan mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan, Agong mencadangkan supaya parti yang ada berkerjasama bagi membentuk kerajaan perpaduan.

Cadangan itu dialu-alukan oleh PH, sementara PN pula bertegas menolak bekerjasama dengan PH.

Meskipun BN pada awalnya memilih untuk kekal sebagai pembangkang, pendirian mereka berubah kepada menyokong cadangan Agong dan bersetuju untuk mengambil bahagian dalam kerajaan perpaduan.

Perubahan pendirian itu membolehkan Anwar mencapai majoriti mudah untuk memimpin kerajaan yang kemudiannya dilantik sebagai perdana menteri.

Kerajaan itu kemudian turut disokong oleh GPS sejurus selepas permohonan maaf terbuka DAP kepada Premier Sarawak dan kerajaan Sarawak, diikuti sokongan daripada GRS.

PN pula masih menolak pelantikan Anwar dan mendesak supaya undi percaya diusulkan. Dalam keadaan begitu Anwar masih mengalu-alukan PN untuk bersama kerajaan perpaduan pimpinannya.

Rakyat Malaysia perlu berterima kasih kepada Agong atas kebijaksanaan baginda menyegerakan penyelesaian kemelut dan mengusulkan kerajaan perpaduan.

Kerajaan perpaduan pimpinan Anwar mempunyai beberapa kelebihan.

Pertama, ia meredakan dan memperbaiki hubungan renggang sama ada dalam kalangan rakyat atau parti. Kritikan dan tuding-menuding ketika pentadbiran kerajaan PH selepas PRU ke-14 membawa kepada polarisasi antara gabungan.

Kedua, kerajaan perpaduan adalah stabil dan bersifat inklusif. Kehadiran hampir semua gabungan politik menyukarkan kerajaan untuk tumbang sekiranya mana-mana gabungan atau parti menarik sokongan seperti yang berlaku sebelum ini.

Kepelbagaian gabungan juga membolehkan kerajaan mewakili pelbagai pihak, kaum dan wilayah.

Mekanisme semak, imbang

Ketiga, kerajaan perpaduan kaya-raya dengan pelbagai bakat yang boleh dipilih untuk membentuk kabinet. Keterangkuman bakat itu mampu membentuk kerajaan yang kuat bagi menangani cabaran ekonomi-politik sama ada di peringkat domestik atau antarabangsa.

Keempat, kerajaan perpaduan boleh diperkukuhkan dengan menghidupkan semula ideologi pembangunan. Ia perlu memberi tumpuan kepada agenda pembangunan berteraskan Matlamat Pembangunan Lestari 2030.

Melaluinya semua gabungan politik serta rakyat boleh disatukan serta dimobilisasikan untuk mencapai agenda pembangunan dengan tumpuan untuk mentransformasi Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi.

Terakhir, kerajaan perpaduan adalah mekanisme yang penting untuk membentuk bangsa Malaysia yang bersatu padu. Dalam konteks ini, Anwar menyatakan komitmennya untuk melindungi dan mempertahankan hak dan kepentingan Melayu dan bumiputra di dalam perlembagaan.

Selain itu, prinsip Rukun Negara perlu dihidupkan semula sebagai teras kepada kerajaan perpaduan.

Meskipun kerajaan perpaduan mempunyai beberapa kelebihan di atas, kehadiran semua gabungan politik dalam kerajaan bakal menjejaskan mekanisme semak dan imbang terhadap kerajaan.

Meskipun kritikan dan perbezaan pandangan boleh berlaku dalam kerajaan perpaduan, namun kritikan itu tidaklah selantang gabungan politik yang berada di luar kerajaan.

Selain itu, kerajaan perpaduan cenderung untuk membentuk sebuah kerajaan yang besar. Hal ini kerana jawatan-jawatan menteri dan timbalan menteri perlu diberikan kepada parti komponen yang membentuk kerajaan sekali gus meningkatkan perbelanjaan kerajaan.

Kerajaan perpaduan juga dihujahkan lambat membuat keputusan kerana ia perlu mengambil kira semua pandangan.

Tuntasnya, mana-mana bentuk kerajaan mempunyai kekurangan dan kelebihan. Namun, kelebihan yang ada pada kerajaan perpaduan jauh mengatasi kekurangannya.

Kerajaan perpaduan adalah kerajaan yang stabil, inklusif dan padu yang diperlukan bagi menyelesaikan kebuntuan politik negara, serta cabaran ekonomi-politik di peringkat domestik dan antarabangsa.


ZAHARUL ABDULLAH ialah pensyarah di Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.