Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Mahkamah batalkan saman pendakwaan salah Najib pada Thomas

Tommy Thomas berjaya dalam permohonannya untuk membatalkan saman pendakwaan salah dikemukakan Najib Razak terhadap bekas peguam negara itu.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini membenarkan permohonan bekas pegawai tertinggi kerajaan itu untuk membatalkan tindakan sivil dikemukakan Najib tanpa perlu melalui perbicaraan penuh.

Tuntutan Najib terhadap Thomas melibatkan pendakwaan ke atasnya dalam empat kes jenayah yang sedang berjalan, iaitu kes rasuah RM2.28 bilion 1MDB, kes pengubahsuaian laporan audit 1MDB, pecah amanah berkaitan Syarikat Pelaburan Petroleum Antarabangsa (IPIC) bernilai RM6.6 bilion, dan kes pengubahan wang haram SRC International Sdn Bhd (RM27 juta).

Saman sivil itu bagaimanapun tidak melibatkan tujuh pertuduhan berkaitan kes rasuah RM42 juta SRC yang menyebabkan Najib kini menjalani hukuman penjara selama 12 tahun.

Semasa prosiding dalam talian hari ini, hakim Ahmad Bache memerintahkan Najib membayar kos RM12,000 kepada Thomas.

Membacakan alasan penghakimannya hakim itu memutuskan bahawa Najib gagal memberikan bukti bahawa Thomas melakukan penyelewengan dalam jawatan awam, berniat jahat dan kecuaian dalam empat kes mahkamah.

Ahmad juga menegaskan duluan undang-undang masih menegaskan hakikat bahawa kuasa perlembagaan peguam negara di bawah Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan untuk memulakan atau menarik balik pertuduhan jenayah bukanlah satu yang boleh dicabar di mahkamah.

Dia menambah Najib tidak boleh bergantung kepada keputusan Mahkamah Persekutuan - berhubung rayuan berhubung isu kekebalan bekas Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) Sundra Rajoo daripada pendakwaan - kerana keputusan itu melibatkan keadaan yang jarang berlaku dan luar biasa.

Ahmad berkata, dakwaan plaintif bahawa Thomas meramalkan tertuduh dengan membincangkan perkara itu pada 2012 sebelum pelantikan defendan sebagai peguam negara di bawah pentadbiran Harapan pada 2018 - tidak dapat dikekalkan kerana Thomas ketika itu sama seperti mana-mana orang awam yang membincangkan isu kepentingan awam.

Hakim berkata terdapat mekanisme semak dan imbang bagi memastikan Thomas bertindak dalam batas undang-undang apabila mengemukakan pertuduhan terhadap Najib dalam empat kes mahkamah.

[Baca berita penuh]