Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

MKT Umno tegaskan sokongan pada Zahid

Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno menegaskan sokongan mereka kepada Ahmad Zahid Hamidi sebagai presiden parti dan pengerusi BN.

Perkara itu dimaklumkan oleh Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan selepas selesai mesyuarat badan itu yang berlangsung selama lima jam.

"MKT memperkukuhkan sokongan terhadap Ahmad Zahid, presiden Umno, untuk terus kekal menerajui sebagai pengerusi BN dan sebulat suara menyokong beliau sebagai presiden Umno Malaysia," katanya.

Penegasan itu hadir di tengah gesaan meningkatnya gesaan terhadap Ahmad Zahid agar meletakkan jawatan.

Semalam, dilaporkan Presiden MCA Wee Ka Siong dan rakan sejawatannya dari MIC SA Vigneswaran menandatangani surat menyatakan rasa tidak percaya terhadap Ahmad Zahid.

Mereka turut mendesak ahli parlimen Bagan Datuk itu digantikan oleh Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan.

Ahmad Zahid juga berdepan gesaan untuk melepaskan jawatannya daripada pelbagai pihak dalam Umno selepas prestasi buruk BN dalam pilihan raya umum lalu.

Malaysiakini melaporkan terdapat percubaan untuk memecat Ahmad Zahid daripada jawatannya sebagai pengerusi BN semasa mesyuarat Dewan Tertinggi BN pada malam Selasa.

Ia berikutan rasa tidak puas hati mereka terhadap Ahmad Zahid yang menghantar surat ke Istana Negara bagi menyatakan 30 ahli parlimen BN menyokong Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

Sementara itu, MKT Umno dalam kenyataannya pagi ini turut memaklumkan Perhimpunan Agung Umno akan diadakan dari 21 hingga 24 Disember ini.

Pada Julai lalu, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) meluluskan pindaan perlembagaan Umno untuk menangguhkan pemilihan partinya kepada tidak lebih enam bulan selepas PRU bagi membolehkan ahli menumpukan perhatian pada kerja pilihan raya.

Umno menangguhkan pemilihan di semua peringkat cawangan, bahagian dan MKT selama 18 bulan selepas penggal 2018/2021 berakhir pada 30 Jun tahun lepas.

Tempoh 18 bulan itu akan berakhir pada penghujung tahun ini dan pemilihan Umno 2021/2023 mesti diadakan sebelum 30 Dis 2022.

MKT juga memutuskan BN harus menyokong dan menyertai kerajaan persekutuan yang tidak dipimpin oleh Perikatan Nasional.