Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

HARI 4 | Umno tolak PN terajui kerajaan perpaduan

HARI 4 | Malaysia masih menantikan perdana menteri kesepuluh, selepas PRU15 menyaksikan negara buat pertama kalinya berdepan situasi parlimen tergantung.

Malaysiakini membawakan berita terkini secara langsung selepas pilihan raya umum.


MKT Umno tolak kerajaan perpaduan diterajui PN

1.30 pagi - Umno memutuskan untuk menyokong dan mengambil bahagian dalam kerajaan perpaduan yang bukan dipimpin PN.

Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan selepas selesai mesyuarat Majlis Tertinggi khas parti itu yang berlangsung selama lima jam.

“MKT (Majlis Tertinggi) secara sebulat suara memutuskan untuk menyokong dan menjunjung titah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong supaya BN menyokong dan mengambil bahagian dalam kerajaan perpaduan yang bukan diterajui oleh PN bagi memastikan sebuah kerajaan yang stabil dan makmur dapat dibentuk," katanya.

Sementara itu, Majlis Tertinggi Umno turut menegaskan sokongan kepimpinan Ahmad Zahid Hamidi sebagai presiden Umno dan pengerusi BN.

Ahmad Maslan turut memaklumkan bahawa Perhimpunan Agung Umno akan diadakan dari 21-24 Disember.


SUPP sampaikan kebimbangan pada GPS

12.30 tengah malam - Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) berkata ia telah menerima mesej kebimbangan mengenai kemungkinan komposisi kerajaan persekutuan yang akan ditubuhkan, yang akan disampaikan kepada pucuk pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Kita mesti menggalakkan semangat penerimaan dan penumpuan idea baharu dalam kalangan rakyat kita. Masa depan Sarawak bergantung pada asas sosial ini,” kata ketua penerangan SUPP Adam Yii seperti dipetik Malay Mail.

Yii dilaporkan menekankan pandangan pelbagai budaya SUPP, tetapi nampaknya tidak menghuraikan sifat kebimbangan yang diterima parti itu.

Bagaimanapun, laporan Malay Mail menyatakan ramai rakyat Sarawak tidak selesa dengan kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang mengenai kaum dan agama, yang dilaporkan "tidak selaras dengan masyarakat berbilang agama dan etnik Sarawak".


Mesyuarat MT Umno lanjut ke tengah malam

12.00 tengah malam: Masih tiada tanda Umno akan menamatkan mesyuarat Majlis Tertinggi. Mesyuarat itu dikatakan bermula pada 8 malam tadi.

Difahamkan Umno akan memutuskan gabungan parti mana yang akan membentuk kerajaan perpaduan mengikut titah Agong.

Dewan Tertinggi BN dijangka membuat keputusan pagi ini sebelum keputusan itu dibentangkan kepada 30 ahli parlimen BN.


Bantahan di Kuching desak ‘GPS tolak gabung dengan PAS’

8.56 malam, Kuching: Di tengah-tengah laporan Gabungan Parti Sarawak (GPS) berpegang dengan keputusannya menyokong Perikatan Nasional (PN) untuk membentuk kerajaan persekutuan, sekumpulan penduduk tempatan di ibu negeri Bumi Kenyalang itu telah menunjukkan sikap anti-PAS.

Menurut laporan media, konvoi lima kenderaan dilihat di pelbagai bahagian di Kuching, memaparkan poster menggesa rakyat Sarawak menolak keputusan GPS menyokong PN, yang terdiri daripada PAS dan Bersatu, antara lain.

"Kami mahu (Pengerusi GPS) Abang Johari Openg menarik balik sokongan (kepada pengerusi PN Muhyiddin Yassin untuk menjadi perdana menteri)," tulis salah satu poster yang digantung pada kenderaan yang dipandu di sekitar Jalan Carpenter dan Pasar Terbuka Kuching.

Awal minggu ini, Abang Johari menyuarakan hasrat GPS untuk membentuk kerajaan bersama PN, BN dan Gabungan Rakyat Sabah, sebelum menukar pendiriannya selepas BN berkata ia tidak akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan mahupun PN.


Wee patut undur, pemimpin Umno selar MCA ‘biadab’

8.20 malam: Pemimpin Umno menyelar pemimpin MCA kerana bersikap biadab dengan mendesak presiden mereka Ahmad Zahid Hamidi supaya berundur.

Bercakap kepada media di Menara Onn, Ketua Pemuda Asyraf Wajdi Dusuki meminta Wee meletakkan jawatannya kerana prestasi buruk MCA dalam pilihan raya umum yang berakhir baru-baru ini.

"MCA bertanding 44 kerusi, dia hanya menang dua kerusi di kawasan orang Melayu.

"Maknanya kegagalan dia mendapat sokongan orang Cina sepatutnya dia ambil tanggungjawab sebab gagal dapat sokongan," katanya.

Asyraf kemudian meminta media untuk menyoal Wee jika dia antara ahli parlimen BN yang menandatangani akuan berkanun menyokong Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri baru.

"Yang itu kalau ikutkan dia (dikenakan) tindakan disiplin dulu. Jadi jangan bermain dengan api," tegasnya.

Ketua Umno Sungai Besar, Jamal Yunos juga berkongsi pendirian sama menggesa BN dibubarkan dan Umno harus bergerak secara solo.

"Tidak ada keperluan ada dalam komponen BN tapi seolah mereka yang jadi 'abang long', mereka yang besar kepala. Padahal mereka bukan apa-apapun," katanya.

Jamal juga mencemuh MCA yang disifatkan hanya berani bertanding di kawasan-kawasan yang majoriti orang Melayu.

"Kenyataan beliau amatlah biadab. Patutnya beliaulah yang letak jawatan.

"Saya juga mohon untuk pengerusi BN untuk keluarkan surat untuk beliau dipecat. Tak guna lagi dah MCA berada dalam komponen BN dan BN perlu dibubarkan," tegas Jamal.

Sementara itu, Jamal berkata ketua bahagian Umno akan bermesyuarat esok untuk membantah Wee.

Sebelum ini, kebanyakan pemimpin Umno yang hadir di ibu pejabat parti berkata mereka tidak mengetahui isu yang akan dibincangkan Umno pada mesyuarat Majlis Tertinggi.


Polis halang kumpulan orang ramai ke Menara Onn

7.35 malam - Ketibaan kira-kira 50 orang terutamanya golongan muda, mencemaskan polis yang ditempatkan di situ ketika mereka berarak menuju ke Menara Onn, di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, di mana terletaknya ibu pejabat Umno.

Beberapa anggota polis segera menghalang mereka dan salah seorang daripada mereka kedengaran bertanyakan niat mereka untuk ke Menara Onn.

Mereka kemudian diminta meninggalkan tempat itu.

Polis juga mengepung tangga yang menghubungkan ke Menara Onn.


MCA perlu cermin diri sebelum gesa Zahid berundur - Bung Moktar

7.20 malam - Ketua BN Sabah Bung Moktar Radin membidas MCA selepas setiausaha agungnya Chong Sin Woon menggesa Ahmad Zahid Hamidi berundur sebagai pengerusi BN.

Sambil menyorot rekod buruk pilihan raya MCA, Bung berkata parti komponen BN itu perlu bertanya kepada diri sendiri bagaimana ia hanya memenangi dua kawasan parlimen dalam pilihan raya baru-baru ini.

Jelasnya, adalah tidak adil untuk menuding jari kepada hanya seorang pemimpin sahaja sedangkan salah sendiri tidak pula diakui selain MCA dilihat tidak menghormati intitusi presiden selaku pucuk pimpinan dalam BN.

"MCA janganlah gesa itu ini macam tu, ini gesa lagi pengerusi (BN) kita berundur apa cerita?

"Mereka ini tidak sedarkah, hanya dapat menang dua kerusi daripada puluhan kerusi yang diberikan Pengerusi kepada mereka, itu pun kerusi yang ada ramai pengundi Melayu.

"Cerminlah diri itu terlebih dahulu sebelum buat keputusan, kita di BN ini tetap tenang menghadapi situasi, jangan kalutkan keadaan," katanya.

Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan Setiausaha Agung MCA Chong Sin Woon menggesa Zahid meletakkan jawatan dan digantikan dengan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan.

Ini susulan surat kepada istana yang menyatakan bahawa 30 ahli parlimen BN menyokong pengerusi Pakatan Harapan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri seterusnya, yang dihantar Zahid.

Chong menyifatkan tindakan Zahid bertentangan dengan pendirian Dewan Tertinggi BN yang memutuskan gabungan itu kekal berkecuali berhubung calon perdana menteri.


PH 'gentleman', PN masih perangai lama - Asyraf

6.46 petang - Pakatan Harapan lebih 'gentleman' dalam berunding kerjasama dengan BN bagi membentuk kerajaan perpaduan selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15), kata seorang pemimpin Umno.

Menurut Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki, pertemuan antara kedua-dua kepimpinan gabungan itu dua hari lalu membincangkan terma dan tawaran PH dalam membentuk kerajaan.

Sedangkan, kata Asyraf, pemimpin PN masih dengan perangan lama untuk cuba membuat perjanjian secara senyap-senyap.

"Kepimpinan PH lebih ‘gentleman’ dan beradab dengan membuat pertemuan secara rasmi dengan tujuh orang kepimpinan BN bagi menzahirkan hasrat untuk bekerjasama dengan kepimpinan BN.

"Sebaliknya, PN masih dengan perangai lama cuba buat ‘dealing’ secara senyap-senyap dan mencuri 10 orang ahli parlimen untuk tanda-tangan Surat Akuan Bersumpah (SD) menyokong Muhyiddin sebagai PM.

"Sebab itulah, pertemuan dengan PN yang sepatutnya dijadualkan sejak dua hari lalu terpaksa ditunda beberapa kali," kata Asyraf dalam kenyataan di Facebook.

Tambah Asyraf, pihak mereka akan memperhalusi tawaran PH dan PN sekaligus akan akur dengan titah Agong untuk pembentukan kerajaan perpaduan.

"Cuma persoalannya kenapakah PN begitu bongkak dan sombong untuk menolak titah nasihat Tuanku Agong agar dibentuk kerajaan perpaduan ya?" soalnya.


Agong titah GPS sokong kerajaan perpaduan

6.00 petang - Agong menitahkan GPS menyokong kerajaan perpaduan, kata Ahli Parlimen Petra Jaya, Fadillah Yusof.

Bagaimanapun, dia berkata perwakilan GPS ke istana tidak dapat memberikan jawapan muktamad kepada Agong kerana mereka perlu bawa perkara itu kepada kepimpinan GPS untuk membuat keputusan.

“Baginda telah memberi nasihat dan kami berempat yang menghadap menjawab bahawa kami tidak boleh membuat keputusan sama ada kami bersetuju atau tidak kerana keputusan itu terletak pada pucuk pimpinan GPS.

“Pada masa yang sama kami (GPS) akan mematuhi apa sahaja keputusan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong,” kata mereka seperti dilapor The Borneo Post.


BN jelaskan tawaran PH, mahu PN beri tawaran balas

5.10 petang - Mesyuarat melibatkan pemimpin BN dan PN di St Regis selesai.

Mereka yang hadir ialah Mohamad Hasan, Ismail Sabri Yaakob, Arthur Joseph Kurup, dan M Saravanan daripada BN.

Wakil PN ialah Muhyiddin Yassin, Abdul Hadi Awang, Ahmad Faizal Azumu, Radzi Jidin, Dominic Lau, Hamzah Zainuddin, dan Ronald Kiandee.

Wartawan Malaysiakini mengetahui bahawa BN telah menjelaskan kepada PN tentang tawaran mereka daripada PH, dan mahukan tawaran balas secara bertulis untuk mereka pertimbang malam ini.


Anwar beredar dari Bukit Gasing, agih popcorn pada media

4.55 petang: Pengerusi PH Anwar Ibrahim meninggalkan pejabatnya di Bukit Gasing selepas kira-kira lima jam bertemu pemimpin parti, beberapa ahli parlimen dan pelawat lain.

Ketika beredar, Anwar enggan mendedahkan sebarang perkara yang dibincangkan atau destinasinya.

Sebaliknya, dia sekali lagi bergurau bahawa dia "pergi menonton wayang" dan juga menghulurkan satu beg popcorn.

"Saya nak pergi tengok wayang, ini ada popcorn," kata Anwar.

Kakitangannya kemudiannya menghulurkan lebih banyak popcorn (bertih jagung) kepada media.


MCA, MIC sahkan Zahid hantar surat sokong Anwar kepada Agong

4.50 petang - Pemimpin MCA dan MIC mengesahkan bahawa surat oleh Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi kepada Agong menyatakan sokongan BN terhadap Pengerusi PH Anwar Ibrahim adalah sahih.

Presiden MIC SA Vigneswaran dan Setiausaha Agung MCA Chong Sin Woon berkata bahawa Zahid telah ditanya mengenai surat itu semasa mesyuarat Majlis Tertinggi BN malam tadi.

Chong berkata Zahid pada mulanya menafikannya, tetapi kemudian mengesahkan menghantar surat itu - mencetuskan kekecohan kerana ini bertentangan dengan keputusan BN untuk kekal sebagai pembangkang dan tidak berpihak kepada mana-mana gabungan.

MCA menggesa agar Zahid digantikan dengan timbalan pengerusi BN Mohamad Hasan.


Syarat rundingan PN-BN di Pahang tak tepat - Tuan Ibrahim

4.30 petang - Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man mengakui dia mengadakan beberapa siri pertemuan dengan ahli Umno Wan Rosdy Wan Ismail mengenai keperluan 'kestabilan politik' di Pahang.

Bagaimanapun, dia berkata khabar angin tentang "syarat" yang ditetapkan untuk rundingan itu adalah tidak tepat dan tidak harus dilayan.

"Perbincangan menjurus kepada mewujudkan keharmonian dan kesetabilan politik di Pahang bagi memberi tumpuan kepada pembangunan negeri, kebajikan rakyat serta usaha memperkukuhkan kerjasama dua parti teras di Pahang,” tulis Tuan Ibrahim di laman Facebooknya.

Pahang kini berdepan situasi parlimen tergantung. PN mempunyai kerusi terbanyak (17) diikuti BN (16) - kedua-duanya kurang daripada 21 kerusi yang diperlukan untuk majoriti mudah.

Bagaimanapun, PH Pahang yang mempunyai 8 kerusi sebelum ini berikrar menyokong BN untuk membentuk kerajaan


Mat Hasan, Ismail Sabri tiba di St Regis

3.40 petang - Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan dan naib presiden Ismail Sabri Yaakob antara pemimpin yang dilihat tiba di Hotel St Regis.

Seperti dilapor sebelum ini, turut ada di hotel itu adalah Nazir Razak.

Bagaimanapun, melalui hantaran Story di Instagram, dia kemudian menjelaskan bahawa dia hanya berada di hotel itu untuk makan tengah hari bersama rakan-rakannya.

Baca selanjutnya: Pemimpin BN, PN jumpa 3 petang hari ini - sumber

Sementara itu, Presiden MCA Wee Ka Siong dalam hantaran di media sosial memaklumkan dia di ibu pejabat parti itu.

Makluman itu dilihat untuk memisahkan MCA dengan pertemuan tersebut.


‘Surat’ Zahid kepada Agong cetus tanda tanya

3.15 petang: Ketua Umno Ketereh Annuar Musa menggesa siasatan dibuat terhadap surat yang didakwa ditulis oleh Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi kepada Yang di-Pertuan Agong.

Surat itu mendakwa kesemua 30 ahli parlimen BN menyokong Pengerusi PH Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri, yang bertentangan dengan apa yang dimaklumkan sesetengah pemimpin BN kepada pemberita selepas mesyuarat mereka semalam.

BN setakat ini berkata mereka kekal dengan keputusan untuk tidak menyokong Anwar mahupun Pengerusi PN Muhyiddin Yassin.


2.10 petang: Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin dilihat meninggalkan Hotel St Regis dan kini berada di rumah Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara.

Rumah tersebut menerima sejumlah pengunjung sejak pengerusi PN itu pulang kira-kira pukul dua petang tadi.

PN sebelum ini mendakwa memiliki sokongan 115 ahli parlimen, namun perakuan bersumpah tersebut dipersoalkan selepas BN memutuskan untuk tidak menyokong mana-mana pihak.


Jangan guna sentimen perkauman, kata Adam Adli

2 petang: Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya Adam Adli Abdul Halim tiba di pejabat Anwar Ibrahim di Bukit Gasing.

Tidak seperti pemimpin PKR lain, yang terus masuk ke banglo tersebut dengan kereta bercermin gelap mereka, ketua pemuda PKR itu berjalan ke arah tempat media yang sedang menunggu.

Dia berkata apa yang akan dibincangkan hari ini termasuk penggunaan sentimen perkauman, terutama dalam kalangan golongan muda.

"Saya minta jangan guna sentimen perkauman.

"Jangan musnahkan kepentingan negara demi kepentingan politik atau peribadi. PRU15 sudah tamat," katanya.

Tidak lama kemudian, sebuah lori tiba membawa kerusi plastik kepada media, dengan ada yang berseloroh tidak perlu berebut kerusi tersebut.


Agong titahkan BN sertai kerajaan perpaduan - Zahid

1:50 petang - Wartawan HARIZ MOHD melaporkan Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi berkata, Yang di-Pertuan Agong menitahkan bahawa semua 30 ahli parlimen parti itu mesti mengambil bahagian dalam kerajaan perpaduan.

Katanya, dia bersama dua lagi pemimpin tertinggi gabungan berkenaan menerima titah tersebut semasa menghadap Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah di Istana Negara pagi tadi.

Ditanya mengenai sikap berkecuali BN seperti yang dinyatakan beberapa pemimpin parti itu, Ahmad Zahid menjawab: "Tak ada, tak ada... Bukan itu titah tuanku," katanya.

“Titah Tuanku ialah bentuk kerajaan perpaduan,” jelasnya lagi.


Pemimpin PKR berkumpul di pejabat Anwar

1.40 tengah hari: Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail tiba di pejabat Anwar Ibrahim Bukit Gasing, Petaling Jaya.

Turut dilihat tiba di situ adalah Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Sungai Buloh R Ramanan.

Pejabat Anwar antara beberapa lokasi di mana ahli politik bertemu berkenaan penubuhan kerajaan baru, hari ini.


Lelaki ditahan disyaki ancam bunuh Agong

1.35 petang - Seorang lelaki telah ditahan polis kerana membuat hantaran berbaur ancaman bunuh terhadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Bernama memetik Ketua Polis Selangor Arjunaidi Mohamed sebagai mengesahkan penahanan tersebut tetapi tidak mendedahkan butiran lanjut,

Semalam, tular menerusi media sosial tangkap layar Instagram Story dipercayai milik seorang lelaki berusia lingkungan 30-an yang mempersoalkan kewibawaan dan mengancam keselamatan Seri Paduka Baginda.


Raja-Raja Melayu bersidang esok

1.20 tengah hari - Majlis Raja-Raja Melayu akan bersidang esok bagi membincangkan pembentukan kerajaan seterusnya, menurut kenyataan dari Istana Negara.

Yang di-Pertuan Agong dipercayai mahu pendapat raja-raja Melayu lain mengenai cara menyelesaikan kebuntuan itu, selepas PN menolak cadangan kerajaan perpaduan.

Ini berkemungkinan bermakna kemelut siapa bakal menduduki Putrajaya tidak akan berakhir hari ini.


MKT Umno dijadual bermesyuarat malam ini

1.10 tengah hari - Menurut satu pekeliling, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno akan  mengadakan mesyuarat hari ini pada jam 8 malam.

Mesyuarat dijadualkan berlangsung di ibu pejabat Umno iaitu Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia di Kuala Lumpur.

Tidak jelas apakah agenda mesyuarat itu.


Ura-ura ada pertemuan PN-BN

1 petang - Sebuah kenderaan MPV dipercayai milik Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainuddin dkelihatan berada di Hotel St Regis di Kuala Lumpur.

Kenderaan dengan nombor pendaftaran yang sama, sering kelihatan di kediaman Pengerusi PN Muhyiddin Yassin semalam.

Turut hadir di hotel itu sebelum ini ialah Nazir Razak - yang mengetuai Perhimpunan Better Malaysia, sebuah kumpulan yang bertujuan untuk menjadi platform non-partisan yang mencadangkan pembaharuan dan "merombak semula" institusi dan sistem negara.

Spekulasi bertiup kencang bahawa pertemuan antara pemimpin BN dan PN akan berlangsung di hotel itu, walaupun tiada kelihatan sebarang kelibat ahli parlimen BN atau pemimpin PN lain termasuk Muhyiddin.

‘10 wakil BN tarik SD sokong Muhyiddin’

12.50 tengah hari - PN dilaporkan kehilangan jumlah kerusi yang diperlukan untuk membentuk kerajaan selepas 10 ahli Parlimen BN menarik balik sokongan mereka melalui akuan berkanun (SD) pada saat akhir semalam.

New Straits Times melaporkan bahawa ahli Parlimen BN memaklumkan mengenai keputusan menarik semula sokongan mereka kepada istana melalui e-mel sekitar jam 2 petang semalam.

Ini kononnya alasan yang diberikan mengapa Istana Negara memutuskan kedua-dua gabungan Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH)tidak mempunyai sokongan majoriti.

Semalam, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin mendakwa bahwa gabungannya sudah menyerahkan 115 SD kepada istana tetapi Yang di-Pertuan Agong berkata ia tidak mencukupi.


Anwar tiba di pejabat

12 tengah hari: Pengerusi PH Anwar Ibrahim dilihat tiba di pejabatnya di Bukit Gasing, Petaling Jaya.

Tidak lama kemudian, dia keluar dan membawa keluar makanan tengah hari, nasi ayam goreng kunyit, kepada para pemberita yang berada di luar.

“Berita baik, makanan tengah hari disediakan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin juga telah kembali ke rumahnya di Bukit Damansara.


Wakil GPS keluar dari Istana Negara

11:56 pagi: Beberapa buah kereta dipercayai dinaiki wakil GPS meninggalkan Istana Negara.

Alexander Nanta Linggi dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sempat melambai kepada media ketika keluar.

Terdahulu, sumber memberitahu Malaysiakini antara lima wakil GPS yang menghadap Agong hari ini adalah Nanta, Fadillah Yusof (PBB), Richard Riot (Parti Rakyat Bersatu Sarawak) dan, Aaron Ago Dagang (Parti Rakyat Sarawak).

Tidak dapat dipastikan siapa seorang lagi wakil gabungan itu.


11.45 pagi: Sebuah gabungan NGO berkumpul di luar Istana Negara bagi meminta Yang di-Pertuan Agong menyelesaikan segara isu pelantikan perdana menteri.

Kira-kira 50 ahli gabungan itu membawa sepanduk tertera, "Tuanku, dengar rintihan ummah".

Mereka juga melaungkan takbir beberapa kali.

Turut bersama kumpulan itu adalah Ketua Penerangan Pemuda Bersatu Asyraf Mustaqim dan Pengerusi Persatuan Pengguna Semboyan 1 Malaysia (Semboyan Malaysia) Yusuf Azmi.


Anwar keluar ‘tengok wayang’

11.40 pagi: Anwar Ibrahim meninggalkan rumahnya di Kajang, menurut Sin Chew Daily.

Calon perdana menteri PH itu sempat berseloroh dengan wartawan yang menunggu, dengan berkata dia keluar untuk "tengok wayang".

Ini boleh membawa dua makna - dia benar-benar ke pawagam atau secara sarkastik berkata dia sedang memerhatikan langkah lawan politiknya.


GPS masih sokong Muhyiddin

11.30 pagi: Gabungan Parti Sarawak (GPS) masih menyokong Pengerusi PN Muhyiddin Yassin, kata Ahli Parlimen Petra Jaya Fadillah Yusof seperti dipetik Sin Chew Daily.

Dia berkata pendirian GPS tidak berubah.

Dia juga mengesahkan GPS akan menghadap Agong hari ini.


Zahid, Mat Hasan tinggalkan Istana Negara

11.24 pagi: Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan timbalannya Mohamad Hasan meninggalkan Istana Negara.

Mereka tidak berhenti, sebaliknya hanya melambai kepada pemberita dalam perjalanan keluar.

Dipercayai kini giliran wakil Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong.


Zahid, Mat Hasan tiba di Istana Negara

10.45 pagi: Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan timbalannya Mohamad Hasan tiba di Istana Negara.

Mereka tiba dengan menaiki kereta berbeza. Difahamkan Setiausaha Agung BN Dr Zambry Abdul Kadir datang bersama Zahid.

Setakat ini tidak kelihatan kenderaan ahli parlimen BN yang lain.

Semalam, Istana Negara menitahkan 30 ahli parlimen BN untuk menghadap pada jam 10.30 pagi hari ini.

Wartawan RAVEENA NAGOTRA akan memberikan kemas kini secara langsung dari Istana Negara hari ini.


Persetujuan hampir dicapai di Pahang?

10.33 pagi: Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man memuat naik gambarnya bersama-sama Pengerusi Umno Pahang Wan Rosdy Wan Ismail di Facebook.

"Doakan kebaikan untuk Pahang. Insya-Allah," katanya mengiringi gambar itu.

Tidak dinyatakan bila dan di mana pertemuan berlangsung.

Seperti Parlimen, DUN Pahang juga tergantung dengan kedua-dua PN dan PH sedang berusaha mendapatkan BN untuk menubuhkan kerajaan negeri.


Muhyiddin beredar dari kediaman

10.10 pagi: Pengerusi PN Muhyiddin Yassin dilihat meninggalkan rumahnya di Bukit Damansara. Dia tidak berhenti untuk bercakap dengan media.

Barisan pemimpin tertinggi PN datang ke rumahnya sejak Ahad lalu.


Ummah nafi anjur himpunan

10 pagi: Gerakan Pembela Ummah (Ummah) menafikan terlibat dalam mana-mana penganjuran himpunan hari ini.

"Ummah tidak terlibat dengan sebarang himpunan yang diadakan hari ini yang tular di media sosial.

"Ummah menasihati agar rakyat kekal tenang dan mengikuti proses pelantikan perdana menteri berdasarkan kebijaksanaan dan perkenaan Yang di-Pertuan Agong," katanya.


Polis tingkatkan keselamatan

9.30 pagi: Kawalan keselamatan di Istana Negara hari ini lebih ketat dari biasa, dengan lebih ramai anggota polis ditugaskan.

Pembaca Malaysiakini di Lembah Klang juga memaklumkan trafik hari ini juga lebih sesak dari biasa, ekoran sekatan jalan raya yang diadakan.


Puad cabar Muhyiddin tunjuk jumlah sokongan

9 pagi: Anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno mencabar Pengerusi PN Muhyiddin Yassin untuk mendedahkan senarai 115 ahli parlimen yang dikatakan menyokongnya.

"Mana tahu ada nama ahli parlimen dari BN.

"Kalau tidak berani (dedahkan), jangan setakat istana, rakyat pun tidak percaya," kata Puad di Facebook hari ini.

Puad juga menyifatkan tindakan Muhyiddin yang tidak setuju dengan saranan Yang di-Pertuan Agong berhubung kerajaan perpaduan antara PH dan PN sebagai tidak menghormati baginda.

Puad Zarkashi

8.30 pagi: Yang di-Pertuan Agong sepatutnya menerima menghadap 30 ahli parlimen BN pada jam 10.30 pagi ini.

Namun ia masih tidak dapat dipastikan selepas mesyuarat Dewan Tertinggi BN semalam memutuskan untuk memohon penangguhan.

Kedua-dua PH dan PN memerlukan sokongan BN untuk mendapat majoriti mudah di Parlimen dan seterusnya menubuhkan kerajaan yang baru.

Sementara itu, wakil Gabungan Parti Sarawak (GPS) juga telah dititah untuk menghadap Agong hari ini.