Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

MB: Belanjawan S'gor 2023 tumpu hadapi kemelesetan ekonomi

Belanjawan Selangor 2023 akan memfokuskan kepada strategi mendepani gelombang kemelesetan ekonomi yang dijangka berlaku pada tahun hadapan, kata Menteri Besar Amirudin Shari.

Amirudin memaklumkan sidang DUN Selangor dijadual bermula hari ini, diikuti dengan pembentangan Belanjawan 2023 pada Jumaat (25 Nov) yang akan turut menitikberatkan aspek yang mampu memberi kebaikan kepada golongan muda, wanita dan kegiatan ekonomi.

“Ada beberapa insentif yang kita akan fokuskan terutamanya untuk anak muda, wanita serta memperkasakan kegiatan ekonomi supaya kelembapan atau ketidaktentuan ekonomi berjaya diatasi oleh negeri (Selangor) yang menjadi nadi penting negara.

“Sudah pasti kita mahu mendepani cabaran tahun depan supaya Selangor bukan sahaja boleh menahan uji tetapi juga boleh menongkah arus,” katanya.

Dia berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan kejohanan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Selangor Masters Golf 2022 di Kelab Golf Seri Selangor, di Petaling Jaya semalam.

Amirudin berkata tumpuan berkenaan diberi berikutan keadaan ekonomi yang dijangka mencabar pada tahun depan disebabkan krisis bekalan, serta geopolitik yang tidak seimbang di samping kesan daripada pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sabtu lepas, Amirudin berjaya merampas kerusi Parlimen Gombak daripada penyandangnya, Mohamed Azmin Ali yang bertanding atas tiket PN pada PRU15 apabila memperoleh majoriti undi 12,729.

-Bernama