Seorang maut, 30 cedera letupan bom kereta di Selatan Thailand
GLOBAL | Sekurang-kurangnya seorang pegawai polis maut manakala 30 lagi termasuk orang awam cedera dalam insiden letupan bom kereta di pekarangan kuarters polis di Narathiwat, selatan Thailand hari ini.
Dalam insiden kira-kira 12.45 tengah hari (waktu tempatan), satu letupan dilaporkan di pekarangan kuarters polis apabila sebutir bom buatan sendiri yang dipasang dalam sebuah pikap dan diletupkan.
Setakat ini, Hospital Narathiwat Rajanagarindra menyatakan sekurang-kurangnya 31 orang menerima rawatan di hospital termasuk tiga yang cedera parah.
Ketua Polis Daerah Narathiwat Kolonel Jeffrey Salaimankul berkata letupan itu turut mengakibatkan bangunan kuaters dan kenderaan polis serta orang awam mengalami kerosakan.
“Ia sebutir bom kereta. Siasatan awal berdasarkan rakaman sistem televisyen litar tertutup mendapati seorang lelaki memandu sebuah pikap ke tempat letak kereta di pekarangan kuaters polis sebelum beredar dari kawasan itu dengan menaiki sebuah motosikal.
“Bom buatan sendiri seberat lebih 50 kilogram dan dipasang pada tong gas dalam pikap itu kemudiannya diletupkan,” katanya pada satu sidang media.
Letupan itu menyebabkan bangunan dan kenderaan di tempat letak kereta berhampiran kuarters polis berkenaan terbakar dan mengalami kerosakan teruk.
Polis sedang menjejaki suspek dan menyiasat motif serangan.
Setakat ini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab atas serangan itu.
Sementara itu, pemangku jurucakap kerajaan Anucha Burapachaisri berkata Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan o-cha telah mengarahkan polis dan pasukan keselamatan mempercepatkan siasatan.
“Perdana Menteri turut mengarahkan agensi berkaitan meningkatkan langkah-langkah keselamatan di tempat awam,” katanya.
Ketua Polis Negara Jen Damrongsak Kittiprapat turut melawat Narathiwat untuk memantau dan menyiasat insiden itu.
Statistik kumpulan pemantau bebas Deep South Watch menunjukkan kitaran keganasan yang berterusan di Pattani, Yala, Narathiwat dan Songkhla yang terletak di selatan Thailand bermula sejak 2004 yang telah meragut lebih 7,000 nyawa setakat ini.
Rundingan antara kerajaan dan pemberontak yang bermula pada 2013 untuk membawa keamanan menghadapi gangguan dan terhenti beberapa kali.
Perbincangan antara kerajaan Thailand dan BRN, kumpulan bersenjata paling berpengaruh di selatan Thailand, bermula pada 2019.
Selepas beberapa siri mesyuarat, rundingan itu dikatakan telah mencapai kemajuan konkrit dan penting yang membawa harapan untuk menamatkan keganasan di wilayah sempadan selatan Thailand.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai